Baru 3 hari ‘lockdown’, 137 kompaun dikeluarkan

0
921
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di SJR Taman Krubong Perdana.

KRUBONG 4 Jun – Polis Melaka mengeluarkan 137 kompaun menerusi penguatkuasaan sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini setakat semalam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Daripada jumlah itu, 94 kompaun dikeluarkan hasil daripada SJR statik, manakala selebihnya menerusi SJR bergerak atau mobile yang dijalankan di ketiga-tiga daerah di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, sehingga semalam, 45,200 kenderaan telah diperiksa menerusi SJR statik dan 7,149 kenderaan secara mobile dengan jumlah saman 463 atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah

“Setakat semalam, 145 kenderaan diarah berpatah balik dan 43 kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka di beberapa kawasan ‘hot spot’ atau laluan tikus.

“Bagi (SJR) yang statik, 139 kenderaan diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan alasan munasabah. Ini sudah tentu boleh menghalang usaha kita untuk membendung penularan wabak ini,” katanya ketika ditemui pemberita di SJR Taman Krubong Perdana.

Hadir sama, Ketua JSPT Melaka, Superintendan Hassan Basri Yahya.

Sementera itu, beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana individu yang sengaja menipu dan memberikan alasan tidak munasabah ketika ditahan melanggar jarak 10 km radius yang ditetapkan serta gagal mempamerkan borang kebenaran bekerja secara sah dan bercetak daripada pihak berkaitan.

“Ada antara mereka cuba menipu alamat tempat tinggal yang boleh mengaburi mata pihak berkuasa untuk merentasi sekatan jalan raya yang dibuat.

“Ada juga yang bagi alasan nak beli barang tapi sanggup rentas daerah. Kita nasihatkan jangan cuba hendak mengaburi mata pihak polis kerana kita tahu sebenarnya.

“Jika ini berlaku tidak ada sebarang kompromi lagi. Kita terus ambil tindakan kompaun,” katanya.

Untuk rekod, lapan gerakan SJR mobile dilaksanakan di negeri ini iaitu empat di Melaka Tengah, satu di Jasin dan Alor Gajah, manakala dua dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.