Keputusan SPM 2020 diumumkan Khamis depan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

PUTRAJAYA 4 Jun – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan dikeluarkan pada 10 Jun (Khamis), bermula jam 10 pagi.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, semua calon SPM 2020 boleh menyemak keputusan secara dalam talian di portal Lembaga Peperiksaan http://lp.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.

Selain itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan calon sekolah atau persendirian juga boleh menyemak keputusan menerusi satu lagi kaedah iaitu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 68886.

Menurut KPM, perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 10 Jun sehingga 6 petang pada 17 Jun ini.

“Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan,” katanya kenyataan itu.

Menurut KPM, bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian Internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon persendirian itu dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

Untuk rekod, bagi SPM 2020, seramai 401,105 calon mendaftar telah menduduki peperiksaan di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 22 Februari hingga 25 Mac lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

663
Kongsi :
Previous post Baru 3 hari ‘lockdown’, 137 kompaun dikeluarkan
Next post PKPD Kampung Lubok Redan tamat esok
Ubah saiz-+=