Bas Singgah-singgah Melaka dilancarkan pertengahan April

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 18 Feb. – Bas Singgah-singgah iaitu bas pelancongan baharu Melaka dijangka dilancarkan pada pertengahan April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, buat permulaan empat bas elektrik yang dilengkapi rangkaian jalur lebar tanpa wayar (WIFI) akan diperkenalkan.

Bas berkenaan jelasnya bermula di Melaka Sentral dan melalui enam hentian khas yang dikenal pasti iaitu di Zoo Melaka, Bangunan Stadhuys, Muzium Samudera, Menara Taming Sari, Muzium Kapal Selam dan Dataran Klebang.

“Tujuan lawatan ini untuk mengenal pasti hentian-hentian khas yang ditetapkan. Difahamkan setiap hentian bas ini akan dinaik taraf mengikut kesesuaian dan keperluan Bas Singgah-singgah.

“Jadi di situ akan ada tempat menjual tiket dan segala maklumat mengenai bas termasuk dan laluan dan jadual perjalanannya.

“Setiap hentian dipilih ini sememangnya bertepatan kerana ia antara kawasan tumpuan pelancong di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas lawatan tapak hentian bas di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi tahun pertama pihaknya menyasarkan 3,000 penumpang sehari dan jika permintaan menggalakkan, perkhidmatan bas berkenaan akan ditambah baik.

“Sekiranya sambutan menggalakkan daripada pelancong, tidak mustahil kita akan tambah bas ini dan buka laluannya ke kawasan pelancongan luar bandar pula,” ujarnya.

Roslan berkata, pengenalan bas berkenaan bukan sahaja untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negeri pasca pandemik COVID-19, bahkan bagi mengurangkan kesesakan di bandar terutama pada hujung minggu dengan kehadiran ramai pelancong.

“Jadi, kita berharap pelancong akan memilih bas pelancongan ini untuk melawat lokasi tumpuan berbanding menaiki kereta,” katanya.

Views:

737
Kongsi :
Previous post Kegiatan lombong mata wang kripto punca SEB rugi RM4.3 juta di Miri
Next post Polis siasat nombor telefon ‘jual’ nama orang kenamaan
Ubah saiz-+=