Polis siasat nombor telefon ‘jual’ nama orang kenamaan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 18 Feb. – Polis sudah memulakan siasatan terhadap dua nombor telefon yang digunakan untuk memperdaya orang ramai menggunakan nama beberapa tokoh kenamaan negeri termasuk membabitkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, setakat ini, pihaknya sudah menerima empat aduan antaranya membabitkan dua nombor telefon iaitu 011-18989012 dan 010-7767161.

“Semalam kita terima laporan kedua-dua nombor itu cuba memperdaya orang ramai menggunakan nama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman serta dua ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

“Kita percaya, kedua-dua nombor ini baharu sahaja digunakan untuk jenayah penipuan ‘scammer’ kerana semakan melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ mendapati ianya tiada rekod, namun siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cuba menipu.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyatannya hari menyatakan kekesalan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar dan menggunakan nama serta gambar profil Sulaiman untuk menipu dan memperdaya orang ramai.

Tindakan itu katanya, bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik dan imej Ketua Menteri Melaka, bahkan boleh menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada pihak yang terpedaya dan menjadi mangsa penipuan.

Melalui tangkap layar yang tular itu, individu berkenaan menggunakan nombor telefon 010-3865922 tertera gambar profil Sulaiman yang meminta penerima memindahkan wang berjumlah RM4,700 ke dalam satu nombor akaun bank.

Semalam MHI melaporkan, Zainal membuat laporan polis apabila gambarnya dimanipulasi dan ditularkan sebagai gambar profil di aplikasi WhatsApp menggunakan nombor 011-18989012.

Beberapa jam selepas itu, Shadan pula menjadi mangsa namun individu berkenaan menggunakan nombor telefon 010-7767161 yang meletakkan gambarnya sebagai profil WhatsApp sebelum menghubungi kenalan rapatnya untuk meminjam wang berjumlah RM4,900.

Views:

1267
Kongsi :
Previous post Bas Singgah-singgah Melaka dilancarkan pertengahan April
Next post Gambar profil ketua menteri pula dimanipulasi ‘scammer’
Ubah saiz-+=