Bas Singgah-singgah: Tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 23 Dis. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menegaskan perkhidmatan Bas Singgah-singgah yang akan diperkenalkan tahun depan tidak melibatkan sebarang perbelanjaan daripada kerajaan negeri.

Jelasnya, perkhidmatan berkenaan merupakan projek usahasama di antara Panorama Melaka Sdn Bhd dengan sebuah syarikat swasta dari ibu kota, WSH Automative Sdn Bhd yang mana kos pelaburan berjumlah RM20 juta bagi pembelian bas itu dikeluarkan sendiri oleh syarikat berkenaan.

Justeru, ujarnya, tidak perlu timbul sebarang isu membabitkan pembelian bas elektrik dengan kos yang mahal kerana pada akhirnya, ia adalah untuk keselesaan pengunjung dan pelancong yang datang ke Melaka dan menggunakan perkhidmatan berkenaan.

“Biarlah nilainya RM10 juta sekali pun, selagi kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan, kita tidak kisah. Boleh dikatakan perbelanjaan itu adalah daripada syarikat swasta itu sendiri.

“Cuma kita di pihak kerajaan negeri akan dapat manfaat dari segi kutipan tiket, selain ada sumbangan dari segi model perniagaan yang akan dipulangkan kepada Panorama Melaka.

“Bagi saya memang harganya (bas elektrik) mahal. Tapi ia adalah untuk keselesaan pengunjung dan pelancong, Bas itu cukup selesa, berhawa dingin dan ada pelbagai kemudahan lain menarik. Tapi apa yang paling penting ialah bas itu juga akan mengurangkan pembuangan asap dan karbon monoksida di kawasan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Melaka di Taman Botanikal Ayer Keroh.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Melaka Khirun Nizam Abdul Rahim.

Terdahulu, Melaka mengumumkan perkhidmatan bas pelancongan pertama di negeri ini yang dikenali sebagai bas singgah-singgah.

Bas singgah-singgah itu akan menggunakan khidmat bas elektrik yang dilengkapi ‘Virtual Augmented Reality Goggle’ untuk para pelancong, dengan jadual ‘drop off’ and ‘hop on’ di kesemua lokasi pelancongan di Melaka.

Sebanyak lapan unit bas akan disediakan dan dijangka beroperasi menjelang Mac 2021, melibatkan lapan fasa destinasi pelancongan, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM20 juta.

Produk pelancongan terbaharu di Melaka itu juga dijangka bakal dinikmati oleh lebih kurang 290,000 warganegara Malaysia pada setiap tahun.

Views:

1378
Kongsi :
Previous post COVID-19 : 135 individu Pusat Koreksional Jasin disahkan positif
Next post Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 jamin kelangsungan industri pelancongan Malaysia – PM
Ubah saiz-+=