Khairul Hafiz Jantan

Bayangan pengganti ‘Speedy Jantan’ masih samar-samar

AYER KEROH 15 Okt. – Melaka masih belum memutuskan atlet yang akan menggantikan slot ditinggalkan Khairul Hafiz Jantan dalam acara balapan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang akan berlangsung di Johor tahun depan.

Menurut Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, ketika ini pihaknya masih mengesan atlet yang layak menggalas tanggungjawab itu.

“Kejayaan Khairul Hafiz pada SUKMA 2016 amat memeranjatkan dan ia sangat berkait rapat dengan prestasi semasa atlet dan hasil yang diraih pada ketika itu adalah diluar jangkaan.

“Kita ada ramai pelapis yang sedang dibangunkan, namun saya berharap akan muncul atlet yang mampu menyaingi kecemerlangan sama seperti Khairul Hafiz Jantan (pada SUKMA 2016),” katanya ketika ditemui di Menara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) sebentar tadi.

Pada saingan SUKMA 2016 di Sarawak, bekas atlet pecut Melaka Khairul Hafiz Jantan meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter selepas merekodkan catatan 10.18 saat mengatasi 10.30 saat milik Watson Nyambek.

Hadir sama Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka Tan Gek Chu dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka Noorman Ramlan.

Jelas Mohd Rafiq, pihaknya juga sedang menyenarai pendek barisan atlet SUKMA Melaka yang dijangka selesai pada 31 Disember depan.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq turut memberitahu tiada rancangan baharu dari pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung pertukaran tarikh baharu SUKMA Johor.

“Setakat ini ia kekal pada April, namun saya rasa KBS mengambil maklum dan memerhati secara dekat sebelum ada keputusan berkenaan tarikh baharu,” katanya.

Views:

13

Share and Enjoy !

Shares
cm toksik Previous post Tiada kompromi – KM
abu 3 Next post Laut bergelora tenang terima 2.5 tan abu al-Quran