Tiada kompromi – KM

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TANJUNG TUAN 15 Okt. – Tiada kompromi dan mereka yang bertanggungjawab terhadap isu sisa toksik akan dikenakan tindakan tegas.

Demikian pendirian dan amaran keras oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berhubung pembongkaran sisa toksik dan bahan berbahaya di sebuah tapak haram di Kampung Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, baru-baru ini.

Beliau berkata, isu-isu membabitkan sisa toksik perlu dipandang serius memandangkan ia bukan sahaja boleh memusnahkan alam sekitar, bahkan turut mengundang bahaya kepada penduduk sekitar.

“Sesiapa sahaja yang melanggar isu yang boleh menyebabkan pencemaran seperti sisa toksik ini, tindakan yang amat tegas perlu diambil.

“Saya tidak akan sesekali berkompromi atau bertoleransi terhadap hal-hal yang melibatkan toksik dan bahan berbahaya yang kita tahu memberi kesan zamat besar kepada alam sekitar dan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kawasan tumpahan minyak di Pantai Cermin, Tanjung Tuan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka Rosli Osman.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan mengenai pembongkaran sebuah tapak haram yang mengandungi 900 tong dram, enam tangki intermediate bulk containers (IBC), tujuh tong tercemar dan lima buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak di Kampung Pengkalan Perigi, Tanjung Kling.

Difahamkan, kerja-kerja tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh sebuah syarikat minyak di negeri ini yang bertindak mengabaikan tatacara pelupusan sisa tersebut dengan betul.

JAS dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, pelaku berkenaan telah dikenal pasti dan kerja-kerja pembersihan dan pengosongan kawasan itu akan dilakukan dengan kadar segera.

Views:

488
Kongsi :
Previous post Fasa pertama banci 2020 di Melaka masih rendah
Next post Bayangan pengganti ‘Speedy Jantan’ masih samar-samar
Ubah saiz-+=