Bayaran one-off RM1,000 kepada nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 11 Mac – Prihatin dengan kehidupan nelayan, kerajaan negeri memberikan insentif kepada golongan itu yang menerima bantuan sebanyak RM1,000 secara ‘one-off’.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bayaran RM250 dibuat setiap suku tahun bermula Feb lalu.

“Bantuan one-off ini turut diberikan kepada penternak B40 sebanyak RM300 seorang yang melibatkan seramai 1,310 penerima iaitu 671 petani dengan peruntukan RM201,300 dan seramai 639 penternak dengan peruntukan RM191,700.

“Terdapat juga insentif berbentuk program pembangunan industri pertanian dan penternakan yang mana masing-masing berjumlah RM2.45 juta dan RM1.46 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pencapaian 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Dan Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) versi 2 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, barisan EXCO kerajaan negeri dan lain-lain kenamaan.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga mewujudkan dan menambah baik Skim Subsidi Peralatan untuk nelayan, petani dan penternak.

“Jabatan Perikanan menyediakan peruntukan RM100,000 untuk skim ini, Jabatan Veterinar RM190,000 manakala Jabatan Pertanian 103,800,” katanya.

Menurutnya, skim insurans percuma turut diwujudkan untuk ketiga-tiga golongan itu yang melibatkan seramai 1,314 penerima menerusi perlindungan insurans atau Takaful ‘Program Tenang’.

“Skim ini bagi khairat kematian atau insurans kemalangan diri bagi nelayan, penternak dan kumpulan petani B40 dengan kelayakan umur 18-55 tahun melibatkan sumbangan sebanyak RM65,700,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

812
Kongsi :
Previous post Melaka tunai janji laksana 58 inisiatif dalam 100 hari pentadbiran
Next post Lima kampung orang asli diwartakan
Ubah saiz-+=