Bayi 12 bulan tidak sedarkan diri dalam jagaan taska di Semabok
MELAKA, 1 Nov – Seorang bayi lelaki berusia 12 bulan tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan sebuah taska di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian berkenaan dimaklumkan pemilik taska terbabit kepada bapa bayi itu menerusi mesej pesanan suara WhatsApp kira-kira 9.30 pagi.
“Bapa kepada bayi berkenaan yang berusia 30 tahun itu dimaklumkan oleh pemilik taska bahawa bebola mata hitam anaknya bergerak ke atas ketika sedang dimandikan dan dipakaikan baju selain turut bertanya sama ada mangsa pernah diserang sawan atau tidak.
“Bapa mangsa kemudian bergegas ke taska itu dan mengambil anaknya untuk dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis pada 12.31 tengah hari semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan awal doktor mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan di bahagian kepala dan kini masih dirawat di hospital itu.
Beliau berkata bapa mangsa turut memaklumkan bayinya itu pernah terjatuh ketika berada dalam jagaan taska berkenaan dan mengalami bengkak di dahi serta lebam di pipi dalam kejadian pada Jumaat (27 Okt) lepas.
Christopher berkata pemilik taska berkenaan memberi alasan punca kecederaan itu disebabkan mangsa terjatuh daripada kerusi bouncer.
Beliau berkata siasatan terperinci berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kanak-kanak itu tidak sedarkan diri. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.