Bazar Aidilfitri berpusat Ramadan 2025

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KOTA LAKSAMANA 7 April – Cadangan penganjuran bazar Aidilfitri berpusat dan terbesar di Banda Hilir pada Ramdan 2025 akan mewujudkan satu lagi tarikan baharu untuk menggamit pengunjung serta pelancong ke Negeri Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan itu akan membabitkan gabungan Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah, Klebang dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di satu lokasi yang sama.

Jelas Ketua Menteri, jajaran dari Jalan Jonker sehingga ke Pahlawan Walk itu akan mewujudkan ruang niaga lebih lebar, selesa, luas dan menawarkan persekitaran menarik, sekali gus merancakkan lagi perkembangan ekonomi setempat.

“Kita bercadang untuk menggabungkan tiga bazar Aidilfitri ini di lokasi sama, digabungkan agar penjanaan ekonomi itu lebih berkembang di kawasan tersebut.

“Malah dengan penganjuran berpusat ini akan membantu peniaga-peniaga dan juga kompleks beli-belah berhampiran untuk terus berkembang dengan lebih baik,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 di Jalan Hang Tuah, di sini, malam tadi.

Photo1712421064
KEMERIAHAN di Melaka Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 di Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Duru; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Ab Rauf berkata, perancangan itu bagaimanapun tidak akan dilaksanakan secara tergesa-gesa dan perlu dikaji terlebih dahulu.

“Kejayaan penganjuran semua bazar sedia ada juga akan dinilai. Tender ini akan dibuka kepada semua pihak yang memberi nilai tambah kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

“Satu garis panduan akan diberikan kepada pihak dapat memberikan persembahan (imej) yang lebih menarik untuk gerai yang akan diuruskan sepanjang Ramadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post Lebih 2,000 meriahkan iftar santai MBMB
Next post Elak makan kupang dari perairan Melaka – KM
Ubah saiz-+=