Elak makan kupang dari perairan Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KOTA LAKSAMANA 7 April – Rakyat Melaka, pengunjung dan pelancong singgah ke negeri ini dinasihatkan agar mengelakkan daripada memakan kupang atau dwicangkerang bagi mengelakkan risiko keracunan makanan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, saranan itu adalah susulan kes orang awam mengalami keracunan selepas memakan kupang yang dilaporkan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Perairan Melaka adalah satu jajaran yang sama dengan Port Dickson, Jabatan Perikanan (DOF) juga sudah mengeluarkan kenyataan melarang orang ramai daripada memakan hidupan itu buat sementara waktu.

“Kita perlu berhati-hati, jauhkan daripada memakan kupang dari perairan Melaka sebab ia adalah dari jajaran yang sama,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 di Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Duru; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Aznan Abdullah dalam kenyataanya 4 April lalu melaporkan hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan dicemari serta tidak selamat dimakan.

Menurutnya berdasarkan sampel air dan kupang di perairan tersebut telah dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

67
Kongsi :
Previous post Bazar Aidilfitri berpusat Ramadan 2025
Next post Berbuka gaya berkelah di Dataran MBMB
Ubah saiz-+=