Bekalan air penduduk Kuala Ina selesai dua hari lagi – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

GADEK 17 Mei – Gangguan bekalan air disebabkan saluran paip pecah di Loji Air Gadek di sini sejak tiga hari lalu sehingga menjejaskan kira-kira 1,000 penduduk di kawasan pinggiran Kuala Ina, Pulau Sebang dijangka selesai dua hari lagi.

Exco Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini kerja-kerja membaik pulih paip pecah berkenaan sudah dilaksanakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Katanya,SAMB menerima aduan masalah bekalan air daripada penduduk di Taman Pinggiran Kuala Ina ini tiada sejak tiga hari lepas dan mendapati paip di Loji Air Gadek pecah berikutan jangka hayatnya sudah mencecah 19 tahun dan usang.

“Tindakan pantas telah diambil yang mana penduduk telah dibekalkan air dengan ‘jumbo tank’ (tangki jumbo) yang disediakan SAMB dengan kapasiti air sebanyak 43,000 gelen air setiap hari.

“Kita harap penduduk dapat bersabar kerana paip berkenaan sudah dibaik pulih, cuma ia mengambil masa sedikit untuk sampai ke tangki rumah mereka kerana kawasan rumah mereka ini di atas bukit,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek VP Shanmugam serta wakil SAMB.

photo_2023-05-17_18-13-22
KEADAAN paip pecah di loji Gadek yang dibaik pulih. Foto MR Azli

Katanya, setakat ini Melaka tidak mengalami masalah tiada bekalan air selain isu paip pecah yang disebabkan usianya telah lama dan usang.

“Punca paip pecah ini kerana ia sudah usang, di Melaka masih banyak paip yang lama tetapi kita fokuskan mana lebih kritikal, lain-lain kita akan ganti secara berperingkat kerana ia memerlukan kos yang sangat besar,” katanya.

Sementara itu, Shanmugam meminta jasa baik pejabat daerah di kawasan itu agar mengenal pasti tanah kerajaan atau tanah yang boleh disewa untuk membina satu tangki yang boleh menyalurkan air tanpa henti ke rumah penduduk terlibat.

“Cara untuk atasi masalah ini kita perlu carikan satu tanah untuk membina tangki air baharu, tangki ini akan salurkan air tanpa henti jika keadaan begini berlaku,

“Sama ada tanah kerajaan atau perlu sewa kita minta jasa baik pejabat daerah di kawasan ini mencari di mana tanah yang masih ada untuk bina tangki ini, kemudian baharu kita laksanakan proses selanjutnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2380
Kongsi :
Previous post Jalan alternatif Taman Murai Jaya siap Julai depan
Next post Gangguan bekalan akibat kebakaran di Mid Valley berjaya dipulihkan sepenuhnya – TNB
Ubah saiz-+=