Bekalan elektrik ke kilang ingkar arahan JAS dipotong

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KESIDANG 23 Mac – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka bertindak memotong bekalan elektrik ke sebuah kilang meleburkan aluminium yang berdegil dan masih meneruskan operasi meskipun sudah diarahkan berbuat demikian pada Sept lalu.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan berkata, arahan dikeluarkan selepas kilang berkenaan didapati melanggar kuasa penahanan alat kelengkapan mengikut Seksyen 38 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikeluarkan oleh JAS pada 20 Ogos tahun lalu.

Katanya, pada 21 Sept tahun lalu JAS negeri menerima satu aduan awam melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke JAS membabitkan kes pencemaran udara dari kilang berkenaan.

“Aduan terkini pula diterima pada 16 Feb juga berkaitan pencemaran udara dan difahamkan bilangan aduan diterima membabitkan premis sama setakat ini sebanyak empat aduan.

“Jadi hari ini kita mengambil tindakan mengarahkan penutupan premis dan memotong bekalan elektrik, lesen Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga ditarik kerana disyaki melanggar pelan merancang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai operasi pemotongan bekalan elektrik dan pemeriksaan premis yang turut dihadiri Pengarah JAS negeri Rosli Osman.

PEGAWAI JAS melakukan pemeriksaan di dalam kilang berkenaan.

Menurut Zaidi, semakan dilakukan juga mendapati premis yang beroperasi sejak 2016 itu sudah diperiksa kira-kira 20 kali oleh JAS negeri selain turut dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Kita memang tidak boleh berkompromi lagi dan perlu pastikan kilang ini patuhi setiap peraturan ditetapkan sebelum dibenarkan kembali beroperasi.

“Malah JAS sendiri sudah mengeluarkan 23 kompaun kepada pihak premis membabitkan kesalahan antaranya pencemaran udara selain sembilan notis arahan juga turut dikeluarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAS juga kini dalam proses menyediakan tiga kertas siasatan dan satu Permohonan Perintah Larangan Operasi ke atas premis itu ke pihak ibu pejabat.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post Azizulhasni rancang bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024
Next post PM akan bincang dengan pemimpin ASEAN jadikan Bahasa Melayu bahasa kedua ASEAN
Ubah saiz-+=