Bekalan elektrik Melaka mampu bertahan hingga 2040

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 7 Julai – Bekalan elektrik di Melaka masih mempunyai lebihan kapasiti tersimpan dan dijangka mampu bertahan hingga 20 tahun lagi.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka, Ir Khairizam Ibrahim berkata, faktor disebabkan Melaka mempunyai kapasiti sehingga 2,750 MVA dan hanya menggunakan kira-kira 24 peratus sahaja kapasiti tersebut setakat ini.

“Jadi, kita ada simpanan kira-kira 76 peratus daripada talian grid nasional dan itu membuatkan bekalan kita mampu bertahan hingga 20 tahun mendatang.

“Tapi itu bukan bermakna kita hanya menunggu sahaja bekalan itu habis digunakan sehingga 20 tahun akan datang, sebaliknya kita sentiasa memeriksa dari semasa ke semasa dan melakukan kajian tentang permintaan elektrik sedia ada.

“Sekiranya ada pelabur di masa akan datang, kita akan membuat penyusunan semula bekalan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khairizam memaklumkan Melaka mempunyai seramai 347,585 pengguna setakat Jun 2020, dan daripada jumlah itu hanya 291,052 sahaja yang sudah menukar kepada meter pintar.

“Lebih 83 peratus pengguna sudah ditukarkan kepada meter pintar dan bakinya kita harap dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat bulan nanti.

“Kita amat berharap semua meter yang lama ditukarkan kepada meter pintar kerana ia lebih memudahkan dan membuatkan pengguna memantau penggunaan bil elektrik secara harian,” katanya lagi.

Views:

481
Kongsi :
Previous post Pertimbang semula cuti sekolah sempena Aidiladha
Next post Immigration Dept seeks Bangladeshi man
Ubah saiz-+=