Pertimbang semula cuti sekolah sempena Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolahan sempena Aidiladha pada 31 Julai ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, ia membolehkan orang ramai dan yang bekerja di perantauan dapat menyambutnya di kampung masing-masing.

Menurutnya, Cuepacs menerima aduan terdapat ramai penjawat awam serta pekerja di sektor swasta bekerja di Sabah dan Sarawak telah menempah tiket penerbangan lebih awal untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidiladha.

“Kita cadangkan supaya 30 Julai dan 3 Ogos depan dijadikan cuti khas dan cuti pelepasan untuk perayaan tersebut.

“Pemberian cuti ini juga memberi kelegaan kepada orang ramai, penjawat awam dan guru yang bergantung sepenuhnya kepada cuti persekolahan untuk bercuti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Kunjung Hormat Barisan Pegawai Tertinggi Cuepacs dan Cuepacs Negeri Melaka bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam di pejabatnya di Seri Negeri, semalam.

Ujarnya, rakyat Malaysia sebelum ini tidak dapat meraikan hari raya Aidilfitri di kampung halaman berikutan sekatan perjalanan merentas negeri ekoran pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk meminda takwim persekolahan dan bercadang menggunakan takwim lama.

“Bagaimanapun, tiba-tiba kementerian memperkenalkan takwim baharu, kebanyakan rakyat terutama mereka yang tinggal jauh dari kampung halaman telah merancang lebih awal berdasarkan cuti persekolahan negara,” katanya.

Jelasnya, perubahan takwim persekolahan itu menyebabkan perancangan orang ramai terkesan dan perlu merancang semula percutian terutama melibatkan pembelian tiket penerbangan.

“Kita harap kementerian dapat pertimbang untuk memberikan cuti khas persekolahan sempena perayaan Aidiladha nanti,” katanya.

Views:

465
Kongsi :
Previous post Imigresen buru Rayhan Kabir
Next post Bekalan elektrik Melaka mampu bertahan hingga 2040
Ubah saiz-+=