Bekalan ternakan untuk Aidiladha mencukupi

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA, 26 Jun – Bekalan ternakan hidup seperti lembu dan kerbau tempatan bagi penyembelihan sempena Aidiladha pada Khamis ini dijangka mencukupi dan memenuhi keperluan, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dianggarkan permintaan lembu dan kerbau adalah sebanyak 38,404 ekor manakala kambing dan bebiri sebanyak 20,420 ekor bagi tujuan korban tahun ini, setelah mengambil kira keperluan masjid, surau dan penyembelihan luar masjid atau surau.

Menurut statistik DVS, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan sehingga Mei 2023 adalah sebanyak 34,946 ekor, manakala bekalan lembu dan kerbau diimport sehingga April 2023 adalah sebanyak 4,911 ekor dengan jumlah keseluruhan bekalan sebanyak 39,857 ekor.

Bagi kambing dan bebiri, bekalan tempatan sehingga Mei 2023 adalah 25,821 ekor manakala bekalan kambing dan bebiri diimport sehingga April 2023 adalah sebanyak 4,167 ekor dan jumlah keseluruhan bekalan bagi tujuan korban adalah 29,988 ekor,” menurut jabatan itu.

“Berdasarkan anggaran bekalan ternakan daripada perangkaan DVS, jumlahnya dijangka mencukupi untuk menampung permintaan sembelihan korban tahun ini,” menurut DVS.

Sebanyak 27 buah rumah sembelih ruminan milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sentiasa bersedia untuk operasi dan DVS juga telah mengeluarkan lesen kepada 38 buah rumah sembelih swasta di Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

953
Kongsi :
Previous post Parol dan PBSL atasi kesesakan banduan
Next post Pelajar SMK Tun Syed Zahiruddin memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu
Ubah saiz-+=