Pelajar SMK Tun Syed Zahiruddin memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 26 Jun – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, Merlimau dinobatkan johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Melaka 2023 sekali gus membawa pulang wang tunai sejumlah RM1,000.

Guru pembimbing pasukan forum remaja SMK Tun Syed Zahiruddin, Ezwafahmey Ahmad Kusaini berkata kejayaan itu melayakkan sekolah itu mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan pada Julai depan.

Katanya, objektif pertandingan adalah untuk memberi ruang dan galakkan kepada pelajar sekolah menggunakan bahasa Melayu yang akhirnya akan melahirkan satu model penggunaan bahasa baku yang baik.

“Ini termasuklah dari segi tatabahasa, sebutan dan gaya, melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi dan berketerampilan serta boleha berhujah dan menghasilkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

“Ia juga menggalakkan penglibatan pelajar dalam kegiatan ko-akademik dengan bimbingan guru dalam mencari idea yang bernas dan fakta tepat tentang tajuk yang dibincangkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Pertandingan itu adalash anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Selatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ini dan diadakan di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (Mozac) melibatkan sebanyak enam pasukan terpilih yang dijalankan secara bersemuka.

Selain SMK Tun Syed Zahiruddin dan Mozac, SMK Agama Sultan Muhammad, SMK Pernu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar dan SMK Krubong turut mengambil bahagian.

Bagi tempat kedua dan ketiga pertandingan masing-masing dirangkul SMK Agama Sultan Muhammad dan SMK Krubong.

Ezwafahmey berkata, ia salah satu inisiatif untuk mencapai Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu kerajaan dengan mewujudkan penggunaan bahasa Melayu yang seragam dalam aspek sebutan baku di kalangan pelajar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1370
Kongsi :
Previous post Bekalan ternakan untuk Aidiladha mencukupi
Next post Buka pejabat cawangan JPJ dan Imigresen di Masjid Tanah
Ubah saiz-+=