Bekas CEO MUFC dilantik ahli lembaga pengarah MFL

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri, hari ini dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu Malaysian Football League (MFL) bagi penggal 2021-2025.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, Mohd Saiful yang juga Pengarah Eksekutif MUFC adalah muka baharu dilantik menjawat jawatan berkenaan.

Pelantikannya bersama dua lagi muka lama iaitu Pengarah Johor Darul Ta’zim (JDT), Datuk Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidin dan Ketua Pegawai Eksekutif UiTM FC, Mustaza Ahmad dibuat menerusi pemilihan oleh 22 Rakan Kongsi Liga dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-5 yang diadakan secara maya hari ini.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengalu-alukan kedatangan tiga Ahli Lembaga Pengarah MFL yang dipilih itu dalam memberikan perubahan kepada Liga Malaysia pada masa akan datang.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Datuk Saiful, Datuk Jaifuddin dan Mustaza yang dipilih oleh Rakan Kongsi Liga menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi penggal 2021-2025.

“Sesungguhnya jawatan ini bukan boleh dipandang ringan di mana tanggungjawab dan komitmen tinggi dituntut dalam usaha membantu Liga Malaysia.

“Tetapi saya optimis bahawa mereka juga memiliki keupayaan untuk membantu MFL sebagaimana mereka sendiri dipilih oleh Rakan Kongsi Liga untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Hamidin turut mendedahkan MFL telah meminda Perlembagaan MFL iaitu Klausa 16.3 (c) berkaitan penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Hari ini MFL bersama Rakan Kongsi Liga bersidang secara maya dan telah membincangkan pelbagai perlembagaan yang dipinda, antaranya Klausa 16.3 (c) – Penggal Ahli Lembaga Pengarah.

“Sekretariat mencadangkan pindaan kepada klausa penggal Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menjelaskan bahawa sekiranya wakil kelab tidak lagi memegang jawatan Pengerusi atau Presiden, Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, atau Pengurus Besar Kelab, mereka secara automatik hilang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Undian untuk jawatan kosong ini akan diadakan pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga yang berikut,” ujarnya.

Dalam mesyuarat itu juga, Hamidin mengingatkan agar Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya bersedia dengan perancangan lebih awal bagi Liga Malaysia 2022 yang dijangka lebih mencabar dalam tempoh pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

“Saya memaklumkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya bersedia dengan perancangan awal supaya kalendar Liga Malaysia tahun depan lebih lancar, sebab kita tidak tahu bila negara kita akan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.

“Mungkin ia akan mengambil masa jadi MFL serta Rakan Kongsi Liga juga perlu membuat perancangan lebih baik dan meningkatkan kerjasama demi kelangsungan Liga Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1755
Kongsi :
Previous post Tiga lelaki ditahan seludup minuman keras lebih RM900,000
Next post KKM kesan sijil vaksinasi dijual dalam talian – Dr Noor Azmi
Ubah saiz-+=