Bekas pesakit perlu jadi ‘duta’ kongsi derita dijangkiti COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KOTA BHARU 29 Mei – Bekas pesakit COVID-19 diminta menjadi ‘duta’ dengan berkongsi pengalaman mereka kepada masyarakat, mengenai derita yang terpaksa ditanggung dalam tempoh dijangkiti wabak itu.

Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata, sebagai bekas pesakit mereka pasti lebih arif dan memahami wabak tersebut, pengalaman yang pastinya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Saya selalu memberi penekanan kepada pesakit yang berada di PKRC, bahawa mereka adalah duta COVID-19 apabila keluar dari pusat kuarantin untuk berkempen kepada masyarakat lain, tentang kesedaran mengenai COVID-19.

“Mereka boleh beri penekanan kepada masyarakat agar patuh kepada 3C (crowded place, confined space, close conversation) dan 3 W (wash, wear, warn) itu sendiri, termasuk mengekalkan penjarakan fizikal dan mengelak berada di tempat sesak dan sebagainya,” katanya.

PENGARAH PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob. Foto- Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan 400 peralatan mandian daripada Persatuan Kebajikan Kasih Sayang (Ai Xin) Malaysia dan Kerabat DiRaja Kelantan Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata sehingga hari ini, rata-rata masyarakat masih gagal menjiwai prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

“Masyarakat bukan sahaja di Kelantan masih gagal menjiwai SOP norma baharu, ia tidak diasimilasi dalam jiwa, kita rasa nak pakai pelitup muka hanya bila nampak polis.

“Kita tidak pakai secara automatik, sedangkan kita dah berdepan dengan wabak ini lebih setahun. SOP ini pun sudah lebih dari setahun, sepatutnya perkara ni sudah sebati dengan kita,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menzahirkan rasa penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO), yang telah menyalurkan pelbagai sumbangan kepada PKRC di seluruh negeri Kelantan yang sekali gus dapat meringankan beban pesakit termasuk para petugas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post Kapal penumpang bawa 181 dan 14 kru kapal terbakar di Maluku, Indonesia
Next post Kabinet akan putuskan sama ada jemaah dibenarkan tunai haji
Ubah saiz-+=