BEKU CUTI PEGAWAI, ANGGOTA JBPM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Cuti bagi pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dibekukan sebagai persiapan menghadapi sebarang bencana, berikutan peralihan monsun timur laut (MTL) selain kebimbangan akibat ketidaktentuan cuaca ketika ini.

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, ketidaktentuan cuaca dan peralihan MTL dijangka berlarutan hingga Mac 2025, berikutan itu amat penting bagi pihaknya melakukan persediaan awal untuk berdepan sebarang risiko bencana boleh berlaku secara tiba-tiba.

“Aspek paling utama adalah sumber tenaga manusia iaitu pegawai dan anggota yang akan dikerahkan ke lokasi bencana, perlu cukup agar operasi menyelamat atau sebagainya tidak terbantut.

“Kekuatan keseluruhan JBPM Melaka tidak ramai kira-kira 500 orang sahaja, berikutan itu kita terpaksa membekukan cuti,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bomba Junior Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, Ayer Keroh, hari ini.

Menurut Mohd Pisar, JBPM Melaka juga melaksanakan pemantauan secara berkala sebagai langkah berjaga-jaga terutama di lokasi ‘hot spot’ seluruh negeri ini.

“Pemantauan ini turut membabitkan paras semasa air sungai, jika sudah hampiri tahap berbahaya kita sudah boleh mengambil tindakan yang perlu dengan lebih awal.

“Terdapat tujuh lokasi hot spot dan berisiko yang kita kenal pasti pada waktu ini antaranya di Lubuk China dan Sungai Siput di Alor Gajah manakala di Melaka Tengah pula Sungai Putat serta Merlimau di Jasin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

80
Kongsi :
Previous post TIGA STESEN MINYAK TERIMA ANUGERAH TANDAS LIMA BINTANG
Next post JOM SERTAI PERTANDINGAN KAYAK @SUNGAI MELAKA
Ubah saiz-+=