Belanjawan 2021 bela usahawan Bumiputera

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 9 Nov. – Peruntukan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu membuktikan nasib golongan Bumiputera khususnya usahawan terus terbela.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu menyambut baik sifat terbuka serta komitmen kerajaan dalam menerima pandangan dan maklum balas rakyat dalam pembentangan bajet kali ini.

Katanya, ini menunjukkan kerajaan sangat komited untuk terus membantu dan menjaga Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“GABEM menyambut baik cadangan langkah-langkah peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi memartabatkan ekonomi kaum Bumiputera seperti dinyatakan.

“Antaranya termasuklah peruntukan sebanyak RM6.5 bilion bagi menyediakan akses pendidikan tinggi berkualiti kepada institusi Bumiputera; RM510 juta untuk pembiayaan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan PKS Mikro dan RM800 juta menerusi peningkatan keupayaan Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank.

“Turut diberi perhatian peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi pembiayaan PKS Bumiputera menerusi Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, kerajaan turut berusaha untuk meningkatkan nilai pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah menerusi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu di kawasan strategik melalui Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan peruntukan RM750 juta.

“Pembangunan Islam terus diperkukuhkan dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam menerusi Jabatan Perdana Menteri.

“Malah, peranan wanita dalam keusahawanan turut diberi perhatian dengan peruntukan sebanyak RM95 juta bagi pembiayaan mikro kredit melalui Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank.

“Kerajaan turut memberikan bantuan kepada kontraktor Bumiputera yang berurusan dengan kerajaan bagi memudahkan aliran tunai dalam melaksanakan projek dengan peruntukan sebanyak RM50 juta menerusi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE),” katanya.

Mengulas lanjut, Rahim berkata, GABEM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam memastikan program yang diumumkan menerusi Belanjawan 2021 itu dilaksanakan sebagaimana diharapkan.

Ujarnya, langkah yang dibentangkan itu pastinya dapat membantu Bumiputera menghasilkan impak ekonomi jangka masa panjang sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik terutama pada ketika dunia sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

Views:

1254
Kongsi :
Previous post Gelang ‘pink’ di sebalik jaket
Next post Kira-kira RM4.5 juta bangunkan PPK luar bandar
Ubah saiz-+=