Kira-kira RM4.5 juta bangunkan PPK luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TABOH NANING 9 Nov. –  Kira-kira RM4.5 juta diperuntukkan bagi membina Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, PPK yang bakal dibangunkan di Pulau Sebang itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam termasuk gelanggang badminton dan futsal serta bilik bimbingan dan asrama.

Menurutnya, inisiatif menerusi cadangan Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Pulau Sebang itu mampu menyediakan kemudahan asas untuk memberikan pembangunan dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan kepada penduduk setempat di kawasan luar bandar itu.

“Saya menghargai usaha persatuan ini yang telah berjaya mendapatkan tanah kerajaan seluas 3,702 meter persegi (0.91 ekar), Mukim Pulau Sebang pada 2018

“Sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan, ia akan meningkatkan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk-penduduk di kawasan luar bandar ini.

“Selain, projek ini yang terletak di kawasan penempatan baru yang belum terdapat sebarang kemudahan Pusat Pembangunan Komuniti (PPK) akan menampung keperluan penduduk setempat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya merasmikan Majlis Pelancaran Pembinaan PPK dan Mesyuarat Agung (AGM) Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman di Resort Main Club House, A’Famosa Resort, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, pembangunan terbabit seiring dalam memajukan pembangunan luar bandar yang seiring dalam pembangunan modal sosial yang terdapat dalam teras strategik tujuh Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

Jelasnya, modal sosial yang merupakan usaha kerajaan untuk mengukuhkan penglibatan rakyat dalam aktiviti kemasyarakatan yang akan meningkatkan tahap keyakinan rakyat terhadap institusi masyarakat dan negara.

“Modal Sosial ini juga merujuk kepada pengembangan peranan anak muda dalam masyarakat.

“Ia juga menerusi pembincangan tentang naratif nasional, naratif baharu Melayu dan penerapan nilai perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama termasuk dalam usaha membangunkan modal sosial yang kukuh di negara ini,” katanya.

Views:

574
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021 bela usahawan Bumiputera
Next post Sukma Johor ditunda: Atlet Para Sukma Melaka terkilan
Ubah saiz-+=