Belanjawan Melaka 2021: Melaka perlukan dana besar pulihkan ekonomi negeri

AYER KEROH 28 Okt. – Melaka perlu memperuntukkan dana kewangan yang besar bagi mempercepatkan kadar pemulihan sektor ekonomi yang terjejas terutamanya sektor perkhidmatan dan pelancongan.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) Siti Sarah Mat Isa berkata, kedua-dua sektor berkenaan merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Katanya, berdasarkan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga April 2020 menunjukkan terdapat beberapa sektor ekonomi di negeri ini terjejas ekoran penguatkuasaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan Kerajaan Malaysia sejak 18 Mac yang lalu.

“Dalam memulihkan sektor ekonomi yang terjejas itu, Kerajaan Melaka perlu mengatur strategi pemulihan akibat kelembapan ekonomi negeri menerusi peruntukan Belanjawan Negeri Melaka 2021.

 

SITI Sarah

“Pertamanya, kerajaan perlu memperuntukkan implikasi dana kewangan yang besar bagi mempercepatkan pemulihan sektor ekonomi terjejas teruk kesan wabak itu.

“Selain itu, menubuhkan pelan tindakan pemulihan bagi sektor supaya mereka mampu mengekalkan perniagaan dalam masa jangka panjang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Pensyarah fakulti sama Muhammad Hafizi Rahmat berkata kerajaan negeri perlu memperkasakan insentif bantuan kewangan kepada rakyat negeri untuk berbelanja.

“Bantuan itu sekali gus dapat menggerakkan aliran pendapatan dalam negeri.

MUHAMMAD Hafizi

“Selain itu, insentif pemotongan cukai bagi firma tempatan dan asing perlu dilaksanakan bagi membuka pelaburan dalam negeri supaya peluang pekerjaan dapat dijana bagi menangani kadar pengangguran yang semakin meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri perlu mengenal pasti sumber pertumbuhan ekonomi baharu seperti bidang digital untuk menjana pendapatan negeri.

“Bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu diberi perhatian bagi melahirkan tenaga pekerja separa mahir dalam memenuhi permintaan industri selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan kemajuan teknologi,” katanya.

Views:

110
Previous post Malaysia kecam sekeras-kerasnya ucapan benci dan fitnah Islam
Next post Belanjawan Melaka 2021: Sektor perhotelan perlu diperkasa