Beli ‘oleh-oleh’ di Melaka, boleh menang kereta

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 4 Februari – Pelancong atau pengunjung ke Negeri Melaka yang berbelanja untuk membeli cenderamata boleh membawa pulang hadiah sebuah kereta.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, itu merupakan antara sebahagian tawaran program cabutan bertuah Bercuti dan Menang sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelas beliau, tawaran istimewa itu dibuka kepada pengunjung dan pelancong serta rakyat Melaka yang membeli ‘oleh-oleh’ atau buah tangan di mana-mana kedai mahupun kiosk berdaftar.

Peluang itu, ujar beliau secara tidak langsung menarik lebih ramai kehadiran pelancong dan pengunjung, selain merancakkan lagi sambutan TMM2024.

“Meskipun sebelum ini kita hanya menetapkan kepada pelancong yang menginap di mana-mana hotel terpilih untuk menginap lebih dua malam tetapi kali ini kita memperluaskan peluang itu dan membuka tawaran ini kepada sesiapa sahaja yang membeli cenderamata TMM2024.

“Kita akan membuat cabutan dan mengumumkan nama pemenang ini dalam tiga bulan sekali dan mereka layak untuk memenangi sebuah kereta seperti yang diumumkan sebelum ini. Perkara lanjut mengenai tawaran ini akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program SWM Kasih Misi Sampul Merah diadakan di Japerun Telok Mas, di sini hari ini.

Hadir sama, Eksekutif Operasi SWM Environment Melaka, Muhammad Nazrul Zulkefli; Setiausaha UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2028
Kongsi :
Previous post 3,000 berarak imbau memori pengisytiharan kemerdekaan, 20 Februari ini
Next post Ibu tunggal anak lima terima hadiah terindah
Ubah saiz-+=