Belia Melaka aset kepimpinan muda negara – KM

BANDARAYA MELAKA 31 Oktober – Belia Melaka mampu menjadi pemimpin sukarelawan yang menyumbang kepada negara sekali gus memperkasa komuniti di negeri ini.

Justeru itu, Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan belia dengan memberikan sedikit penghargaan menerusi Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2022.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata penganugerahan yang diterima itu bukanlah satu pengakhiran kepada pencapaian terbaik anak muda.

“Malah ia permulaan kepada sumbangan yang berterusan khususnya membantu Kerajaan Negeri memperkasakan komuniti.

“Anugerah ini juga platform untuk mengiktiraf individu dan organisasi yang telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan Belia Malaysia.

“Ia juga memberi nilai tambah dalam ilmu pentadbiran dan pengurusan kepada pemimpin belia bagi menjana kekuatan mental dan fizikal yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Hadir sama Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Blia dan Sukan (JBS) Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Azhari Mohammad dan Pengarah JBS Melaka, Khairul Adri Rosli.

Ujarnya, anugerah itu masih relevan kerana konsep programnya yang dinamik dan selari dengan matlamat pembangunan belia yang digariskan.

“Ia ada dalam Dasar Belia Malaysia di dalam Konsep II iaitu 9 Bidang Keutamaan Belia yang terkandung di dalam Buku Dasar Belia Malaysia yang memberi penekanan kepada pengiktirafan sumbangan belia dalam
pembangunan negara.

“Walau apa pun ganjaran yang diterima para penerima anugerah, saya ingin nyatakan bahawa kesemua warga belia Negeri Melaka merupakan aset serta kepimpinan muda negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1894
Previous post Individu tidak tercalon terus sokong perjuangan parti – Ab Rauf
Next post Melaka hargai tokoh belia