Melaka hargai tokoh belia

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 November – Atas jasanya yang aktif bersama pertubuhan belia sejak berusia 15 tahun Asmah Sulaiman, 30, dinobatkan Johan Kategori Individu Wanita Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2022.

Seawal usia 15 tahun, Asmah telah diberi kepercayaan memegang jawatan Setiausaha Persatuan Belia Bersatu Bukit Tembakau, Jasin dan sehingga kini beliau masih aktif dalam aktiviti sukarelawan itu.

“Sekarang saya menjadi usahawan dalam bidang penternakan, mewarisi perniagaan ibu dan arwah ayah. Saya ada ladang di Kampung Bukit Tembakau dan saya juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) paling muda di Negeri Melaka.

“Kemenangan ini memang mengejutkan kerana saya hanya diberikan tempoh dua hari untuk membuat segala persiapan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Sementara itu AC Gobindaran, 30, pula merangkul johan bagi Kategori Individu Lelaki Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2022.

Guru bertugas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Merlimau ini tidak menyangka usahanya selama ini dihargai banyak pihak.

Katanya, sebagai seorang yang aktif bersama pertubuhan belia dia kerap turun padang membantu mangsa bencana termasuk ketika banjir melanda Pahang dan Terengganu.

“Sekarang ini saya adalah Setiausaha Agung Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia, sebagai biro bahasa saya juga menjalankan pelbagai aktiviti berteraskan belia berinovatif.

“Ini bagi memberi peluang kepada para belia membentangkan kertas kerja mereka sama ada di peringkat antarabangsa atau kebangsaan,” katanya.

Pada anugerah itu, Asmah dan A.C. Gobindaran masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, trofi kemenangan serta sijil penyertaan.

Anugerah itu disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2888
Kongsi :
Previous post Belia Melaka aset kepimpinan muda negara – KM
Next post Serah kertas penamaan calon bermula 9 pagi Sabtu ini – SPR
Ubah saiz-+=