Belia wajar jadi penderma darah tegar

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Institusi pengajian tinggi (IPT) diminta bersama-sama untuk memainkan peranan lebih aktif bagi meningkatkan bilangan penderma darah dalam kalangan belia.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa berkata, menderma darah perlu dijadikan sebagai satu budaya hidup sihat, selain memastikan bekalan bagi kegunaan pesakit mencukupi pada setiap masa.

“Para penderma perlu hadir secara konsisten setiap tiga ke empat bulan untuk menderma, sekali gus memastikan bekalan darah mencukupi sepanjang masa.

“Kerjasama dengan IPT ini juga adalah antara langkah atau persediaan untuk menghadapi peningkatan populasi tua (ageing population),” katanya ketika menyempurnakan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka bertemakan ’20 Years of Celebrating Giving: Thank You, Blood Donors’ di sini, semalam.

Majlis berkenaan merupakan anjuran Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dan Malaysian Medical Association (MMA) Cawangan Melaka.

Mengulas lanjut, Dr. Ruzita berkata sambutan tahun ini amat penting bagi memperkenalkan fasiliti baharu Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka.

“Pusat ini sebahagian projek menaik taraf Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka sebagai salah satu pusat diiktiraf yang membekalkan plasma untuk program fraksinasi kebangsaan.

“Pusat ini beroperasi sejak November 2023 dan diharap dapat memberi pengalaman menderma darah lebih baik dengan lokasi lebih mudah diakses, persekitaran kondusif dan kemudahan parkir khas penderma serta tandas orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Pada majlis itu turut diperkenalkan anugerah khas kepada belia bagi mengiktiraf golongan muda yang berjaya menderma darah pada usia muda dan menderma secara konsisten.

Anugerah lain turut disampaikan dalam sambutan itu antaranya Augerah Penderma Darah Utuh Aktif (kategori lelaki dan wanita), Anugerah Penderma Aferesis Aktif, Anugerah Penderma Darah Responsif dan Anugerah Penganjur Aktif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

167
Kongsi :
Previous post ‘Popeye ajar Ab Rauf tunggang motosikal besar’
Next post Erat hubungan antara ‘bikers’
Ubah saiz-+=