Belum 24 jam mencuri dah kena cekup

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PAYA RUMPUT 27 Nov. – Belum pun 24 jam memecah masuk sebuah kedai di Tanjung Minyak, dua remaja berusia 17 dan 16 tahun yang disyaki menjadi dalang kejadian tersebut berjaya dicekup Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka.

Ketua JSJ Negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kedua-dua suspek yang sudah tidak bersekolah itu ditahan pada hari yang sama hasil maklumat risikan yang diperolehi pihaknya.

Ujarnya, tahanan tersebut telah membawa kepada penemuan beberapa barang yang dipercayai telah dicuri dalam kejadian tersebut.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek pertama terlibat dengan lima kes jenayah dan tiga kes dadah, manakala suspek kedua terlibat dengan dua kes jenayah dan dua kes dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam enam kes kegiatan pecah kedai di sekitar kawasan Tanjung Minyak.

“Modus operandi kejadian tersebut adalah dengan memecah masuk melalui tingkap tandas untuk mencuri, manakala seorang lagi akan menunggu di luar untuk memantau persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Sukri, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 457 kanun keseksaan.

“Jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan mana-mana kesalahan yang dilakukan untuk kali kedua atau yang kemudian boleh dikenakan denda atau sebat,” katanya lagi

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi, Rabu lalu, seorang penjual pintu kayu di Taman Tanjung Minyak Perdana mengalami kerugian RM8,000 apabila komputer riba pejabat, mesin penebuk pintu, mesin ‘drill’, jam tangan dan sejumlah wang tunai dilarikan pencuri.

Views:

394
Kongsi :
Previous post Bekalan keperluan asas di Melaka mencukupi
Next post Harap gelembung perjalanan Melaka-Singapura dilaksana tahun depan
Ubah saiz-+=