Belum ada keputusan pasar malam di Melaka dibenar operasi mulai 15 Jun

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BATU BERENDAM 7 Jun – Kerajaan negeri belum memutuskan tarikh untuk membenarkan pasar malam dan pasar tani di Melaka kembali beroperasi demi keselamatan penduduk negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata kerajaan negeri perlu meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pada masa sama perlu menyesuaikan SOP berkenaan mengikut keperluan negeri .

Beliau berkata Melaka tidak berhasrat mengikut langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang membenarkan pasar malam beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 15 Jun ini.

“Pasar malam akan melibatkan satu kumpulan yang ramai dan sebab itulah kita perlu meneliti SOP yang lebih terperinci. Jika setiap gerai memerlukan penjarakan 1.5 meter hingga dua meter, berapa pula luas dan panjang kawasan yang terlibat dan bagaimana mahu mengawal pengunjung-pengunjung yang hadir?

“Melaka saya tak tahu bila (pasar malam dibenarkan operasi). Apa yang pasti, ia masih belum dibenarkan pada 15 Jun kerana kita perlukan kelulusan SOP yang bersesuaian dengan negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan mesra ke tempat pembungkusan dan agihan peralatan pelindung diri (PPE) di Pusat Young Buddhist Association of Malaysia Melaka State Liasion Committee (YBAM), di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong serta Ketua Pengarah Kesihatan negeri Dr Ismail Ali.

Sulaiman berkata operasi setiap pasar malam atau pasar tani adalah berbeza di setiap negeri dan memerlukan SOP yang bersesuaian mengikut lokasi setiap negeri.

“Saya memang bersimpati dengan peniaga-peniaga pasar malam tetapi demi keselamatan, kita perlu pastikan SOP yang bersesuaian terlebih dahulu.

“Saya juga akan meminta Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri) dan unit-unit terlibat untuk mengenal pasti jenis SOP bersesuaian dan melihat pelaksanaan di negeri-negeri lain sama ada mengikut kemahuan yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Katanya selain pasar malam dan pasar tani, premis kedai gunting rambut di Melaka juga tidak akan dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun ini.

Dalam kunjungan mesra tersebut, Sulaiman memuji usaha yang dilakukan YBAM yang mampu menghasilkan 500 PPE sehari dengan bantuan sukarelawan berbilang bangsa di negeri itu.

Beliau turut menerima 3,000 bungkus PPE untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Melaka dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Views:

442
Kongsi :
Previous post PKPB sambung atau tidak? Tunggu PM umum hari ini
Next post PENJANA: MITI sambut baik usaha pulihkan sektor industri dan pembuatan
Ubah saiz-+=