PENJANA: MITI sambut baik usaha pulihkan sektor industri dan pembuatan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BATU BERENDAM 7 Jun – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik usaha kerajaan mewujudkan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek (PENJANA) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Lim Ban Hong berkata pelan berkenaan diyakini dapat membantu pelbagai sektor termasuklah sektor industri dan pembuatan yang kini sedang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

Justeru, beliau berharap dengan adanya pelan jangka pendek ini, semua pihak dapat memainkan peranan penting dan berganding bahu untuk membangunkan semula ekonomi negara memandangkan Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan.

“PENJANA yang diumumkan Perdana Menteri diyakini dapat membantu pelbagai sektor dalam negara, bukan sahaja sektor industri dan pembuatan tetapi juga sektor pelancongan, selain turut memberi penekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Saya fikir sekarang ia bukan sahaja memerlukan usaha kerajaan dari segi mewujudkan pakej rangsangan dan pelan ekonomi sahaja, sebaliknya sudah tiba masa ia memerlukan penglibatan rakyat jelata dan usahawan yang terlibat untuk bekerjasama membantu pembangunan ekonomi dalam tempoh pemulihan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis kunjungan mesra Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali ke tempat pembungkusan dan agihan peralatan pelindung diri (PPE) di Pusat Young Buddhist Association of Malaysia Melaka State Liasion Committee (YBAM), di sini.

Dalam perkembangan lain, Ban Hong turut menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan ekonomi Melaka menerusi sektor industri dan dagangan.

“Seperti yang disebut Ketua Menteri, Melaka bukan hanya sebuah negeri yang berteraskan pelancongan, tetapi juga sedang menggiatkan sektor industri dan dagangan melalui pembangunan pelabuhan.

“Saya fikir melalui kerjasama yang jitu daripada semua pihak, semua perancangan ini untuk membangunkan sektor industri dan dagangan ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di masa akan datang,” ujarnya.

Views:

392
Kongsi :
Previous post Belum ada keputusan pasar malam di Melaka dibenar operasi mulai 15 Jun
Next post Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula 10 Jun ini – PM Muhyiddin
Ubah saiz-+=