Benih padi ‘mutan’ tingkatkan hasil beras
BANDARAYA MELAKA 27 Oktober – Penggunaan benih padi mutan NMR152 dihasilkan Agensi Nuklear Malaysia mampu membantu usaha untuk mencukupkan bekalan makanan asas itu di negara ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, usaha dilaksanakan oleh Agensi Nuklear Malaysia yang mahu bersama-sama memainkan peranan dalam membantu memperkasa aspek sekuriti makanan dilihat sebagai perkara yang amat positif.
Fairul Nizam berkata, perkembangan itu memberi manfaat bagi tempoh jangka masa panjang khusus dalam aspek kawalan harga bekalan makanan yang memberikan manfaat besar kepada rakyat.
“Saya akan mengadakan perbicangan bersama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung perkara ini.
“Penggunaan teknologi nuklear dilihat mampu meningkatkan bekalan makanan asas seperti beras. Kita perlu beri perhatian berhubung kecukupan bekalan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Promosi Bersasar (Technology Preview and Showcase- TPS) Siri 3 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan, Pengarah Bahagian Pengkomersilan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Rasif Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berharapMelaka berkeupayaan untuk menghasilkan produk pertanian negeri dengan nilai tambah yang tinggi dan dikomersialkan.
“Saya berharap dalam masa beberapa tahun akan datang, Melaka dapat menjadi negeri yang kompeten dalam pembangunan sektor pertanian dan komoditi pertanian boleh mencapai 100 peratus tahap sara diri (self sufficiency level) melalui pendekatan serta polisi agromakanan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.