Tuah Research Centre jejaki tinggalan Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Penubuhan Tuah Research Centre (TRC) di Universiti Melaka (Unimel) bakal memperhebatkan lagi kajian berhubung Hang Tuah dan peninggalan laksamana tersohor Melaka itu yang kini bertebaran di seluruh dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kajian berkenaan dilaksanakan kumpulan 10 penyelidik universiti tempatan yang dilantik dan diketuai Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora.

Jelasnya, mereka terbabit dalam Kajian Pengukuhan Kewujudan Hang Tuah, melalui sumber-sumber baharu di empat negara Eropah iaitu Turkiye, Portugal, Belanda dan United Kingdom (UK) pada 16 September hingga 3 Oktober lalu.

Ab Rauf berkata, apa yang membanggakan penyelidikan dijalankan membuktikan kehebatan Hang Tuah yang sudah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara asing.

“Hasil dapatan daripada penyelidik kita hantar ke India, Turki, Rom (Itali), Amsterdam dan UK menemukan artifak, selain itu dalam sejarah mereka juga ada tertulis nama Laksamana Hang Tuah. Terbaharu kita menemui lebih 20 buku mengenai Laksamana Hang Tuah yang tersimpan di Universiti Lethern di Amsterdam, Belanda.

“Bahan ilmiah itu juga ditulis dalam 20 bahasa dan kita akan bawa balik khazanah berharga ini ke Melaka untuk membuktikan hebatnya pahlawan Melayu di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Oktober 2023 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, menerusi kajian dilaksanakan Kerajaan Negeri sedang memperhalusi butiran tentang kekuatan dan kehebatan Laksamana Hang Tuah.

“Selewat-lewatnya Jun 2024 kita akan muktamadkan, ini termasuk hasil dapatan kajian dijalankan di China,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

853
Kongsi :
Previous post Melaka garis 6 inisiatif ke arah pengurusan organisasi berprestasi tinggi
Next post Benih padi ‘mutan’ tingkatkan hasil beras
Ubah saiz-+=