Melaka garis 6 inisiatif ke arah pengurusan organisasi berprestasi tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menggariskan enam inisiatif Kerajaan Negeri ke arah pengurusan organisasi berprestasi tinggi.

Ab Rauf berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan penyampaian perkhidmatan awam Negeri Melaka sentiasa pada tahap terbaik, di samping segala aduan rakyat disantuni dan diselesaikan segera.

Menurut beliau, inisiatif pertama ialah mengadakan Hari Bertemu Rakyat Peringkat Kerajaan Negeri yang telah berlangsung sebanyak dua kali pada 22 Jun dan 14 September lalu.

Ujar beliau, menerusi dua penganjuran itu jumlah aduan yang direkodkan semakin menurun, sekali gus membuktikan komitmen jabatan dan agensi dalam memastikan aduan diterima tidak berulang dan dapat diselesaikan dengan kadar segera demi kesejahteraan rakyat Melaka.

“Inisiatif kedua ialah Pengurusan Aduan Secara Sistematik menerusi istem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan aplikasi Respons Rakyat Melaka (RR).

“Dari 1 Januari hingga 30 September 2023, terdapat 10,400 aduan direkodkan di dalam SiSPAA Kerajaan Negeri Melaka. Sebanyak 97.41 peratus atau 10,131 aduan telah berjaya diselesaikan dengan 8,348 aduan atau 82.40 peratus aduan berjaya diselesaikan dalam tempoh 15 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Oktober 2023 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan lain-lain barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, inisiatif ketiga pula ialah Mengadakan Hari Bertemu Rakyat Peringkat Parlimen yang mana Parlimen Masjid Tanah dipilih menjadi lokasi penganjuran pada Disember depan.

“Inisiatif keempat pula Pengukuhan Pentadbiran Peringkat Daerah dan kelima ialah Reformasi Organisasi dengan menyemak, mengemas kini dan membuat penambahbaikan semua prosedur kerja sedia ada yang sudah lapuk dan memudahkan urusan orang ramai.

“Inisiatif terakhir pula ialah Menuju Kerajaan Digital menerusi SMART Melaka Blueprint 2035 dan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035, yang menggariskan Melaka Super Apps sebagai salah satu ‘Game Changer’ dan pemerkasaan aplikasi pintar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

607
Kongsi :
Previous post Tanda apresiasi kepada Yang di-Pertuan Agong
Next post Tuah Research Centre jejaki tinggalan Hang Tuah
Ubah saiz-+=