Tanda apresiasi kepada Yang di-Pertuan Agong

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Festival Warisan dan Pelancongan Melaka-Pahang pada 1 November ini menjadi tanda apresiasi dan menzahirkan ucapan terima kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, festival berkenaan dijadualkan berlangsung di Muzium Kesultanan Melayu Melaka.

Katanya, kesudian Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni yang berkenan mencemar duli berangkat ke festival itu bakal memeriahkan lagi penganjuran tersebut.

“Festival ini bagi menzahirkan ucapan sembah kasih sayang terhadap Al-Sultan Abdullah yang bakal menamatkan perkhidmatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 penghujung Januari 2024.

“Pada malam tersebut akan diadakan majlis persembahan persejarahan antara kedua-dua negeri ini bagi mempamerkan keunikan budaya serta sejarah negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Oktober 2023 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

803
Kongsi :
Previous post Pelbagaikan kategori program Hari Kebangsaan – Exco
Next post Melaka garis 6 inisiatif ke arah pengurusan organisasi berprestasi tinggi
Ubah saiz-+=