Pelbagaikan kategori program Hari Kebangsaan – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 27 Oktober – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) disarankan supaya mempelbagaikan lagi kategori bagi program yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun hadapan.

Exco Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, antara kategori boleh dibuka adalah seperti pertandingan dekorasi pintu gerbang peringkat sekolah.

“Tahun ini hanya satu kategori sahaja dipertandingkan iaitu peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), jadi saya harap JaPen akan tambah lagi peruntukan tahun hadapan supaya kita dapat perluaskan lagi program ini.

“Program ini juga secara tidak langsung dapat memupuk rasa cinta masyarakat kepada negara, selain hanya mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Semarak Gemilang 2023 JaPeN Melaka di sebuah restoran, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat JaPen, Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah JaPen Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaikan Anugerah Semarak Gemilang tahun 2023 kepada JPKK Felda Hutan Percha.

Fairul Nizam berkata majlis itu bertujuan untuk menghargai dan menyuntik semangat dalam kalangan kakitangan JaPen supaya berusaha melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan cemerlang.

“Selain menghargai kakitangan, ini juga salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira usia dan pangkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post TMM2024 Komitmen kita semua – KM
Next post Tanda apresiasi kepada Yang di-Pertuan Agong
Ubah saiz-+=