TMM2024 Komitmen kita semua – KM

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat
DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Inisiatif Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menuntut komitmen bersama semua pihak termasuk rakyat dan kakitangan awam berkhidmat di Melaka untuk bersama-sama berganding bahu dalam menjayakannya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ambang TMM2024 berbaki tidak sampai dua bulan lagi menjadi medan pecutan akhir untuk memperkemas perjalanan dan mempersiapkan keperluan segala program dirancang, sekali gus mewarnai Negeri Melaka sepanjang tahun hadapan.
Tegas Ketua Menteri, berkaitan pelancaran TMM2024 beberapa aspek perlu diberikan perhatian serius dan tindakan segera seperti menyelaras acara kempen TMM2024.
Ab Rauf berkata Sekretariat TMM2024 bersama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) diminta menyegerakan pelarasan segala aktiviti program pelancongan sudah dirancang dan disusun.
Katanya, ia berikutan selain 70 acara termasuk 32 acara pelancongan utama, pelbagai lagi program tarikan bakal dianjurkan.
“Ingin saya tegaskan, inisiatif TMM2024 ini adalah komitmen kita bersama, bukan hanya terletak di bahu jabatan atau agensi berkaitan pelancongan semata-mata.
“Saya amat berharap kakitangan awam, penggiat industri pelancongan, badan bukan kerajaan dan agensi-agensi swasta bersama-sama Kerajaan Negeri bagi menjayakan inisiatif TMM2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Oktober 2023 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, turut diberikan perhatian serius adalah usaha meningkatkan kebersihan, keindahan dan keceriaan kemudahan awam.
“Semua jabatan dan agensi dibawah Portfolio Kerajaan Tempatan untuk terus meningkatkan tahap kebersihan, keindahan dan keceriaan kemudahan awam serta kawasan persekitaran lokasi-lokasi tumpuan pelancong seluruh negeri,” katanya.
Selain itu Ketua Menteri juga mahu aspek menaik taraf dan mewujudkan produk baharu pelancongan diberikan perhatian serta diperhebatkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
Berhubung aspek itu beliau memuji kejayaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah(MBMB) merangkul dua anugerah pada Malaysia Technology Expo 2023 (MTE2023) ‘Sustainable Development Goals International Innovation Awards and Expo’.
“Anugerah Gold Award dan Outstanding Award bagi kategori ‘Health and Wellbeing adalah berkaitan ProgramSantai@BandaHilir pada setiap Sabtu dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam bermula 19 Ogos lalu, berjaya menarik purata 10,000 pengunjung setiap kali diadakan.
“Semua ini membuktikan kejayaan dan keberkesanan inisiatif Melaka ‘Car FreeZone’ atau Zon Bebas Kenderaan dilaksanakan di kawasan tumpuan pelancong, bagi memberi nilai keunikan, keselesaan serta keselamatan kepada pelancong.Tahniah diucapkan kepada Datuk Bandar dan seluruh warga kerja MBMB,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

588
Kongsi :
Previous post Modul silang budaya tarikan Kem Kami Anak Malaysia
Next post Pelbagaikan kategori program Hari Kebangsaan – Exco
Ubah saiz-+=