Beratus tan harta karun di Pulau Nangka berpenunggu?

Masa Membaca:2 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Beratus-ratus tan harta karun yang masih tertanam di Pulau Nangka, Jasin, di sini didakwa berpenunggu menyebabkan usaha membawanya keluar masih menemui jalan buntu sehingga kini.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA) Nurman Mohd Baroldin berkata, ia disahkan melalui beberapa kajian menggunakan kaedah moden, saintifik dan ilmu ghaib sebelum ini.

“Di Pulau Nangka juga kita telah jalankan beberapa ujian saintifik bagi mengesahkan kewujudan terowong, ada tak mungkin logam-logam yang terdapat di bawah tanah dan boleh dikatakan hasilnya sangat memeranjatkan.

“Kaedah moden telah mengesahkan memang terdapat logam, kita tak tahu logam apa, kalau dalam bacaan dia ‘indicator’ warna merah yang bersifat ‘panas’. Jadi kalau bersifat panas ini faham-faham sahajalah (berpenunggu).

“Memang dari segi kuantiti pun kalau dari segi teknologi telah dapat kesan logam yang terdapat di Pulau Nangka (ada) berapa ratus tan di sana. Kita dapat maklumat tersebut secara saintifik,” katanya.

TANGKAP layar Nurman ketika menjadi salah seorang panelis dalam program Dengauler Ceritaku @ Muzium Melaka dengan tajuk Percaya atau Tidak, Pengalamanku di Muzium Melaka yang disiarkan secara langsung melalui Facebook (FB) rasmi Muzium & Galeri Melaka pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panelis dalam program Dengauler Ceritaku @ Muzium Melaka dengan tajuk Percaya atau Tidak, Pengalamanku di Muzium Melaka yang disiarkan secara langsung melalui Facebook (FB) rasmi Muzium & Galeri Melaka pagi tadi.

Turut menjadi panelis adalah Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Drs Mohd Nasruddin Rahman yang menampilkan Fairus Mamat selaku moderator.

Mengulas lanjut Nurman yang berpengalaman selama 19 tahun sebagai kurator dan penolong kurator di PERZIM sebelum ini berkata, sebelum ini pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggali logam ‘panas’ tersebut termasuk oleh sebuah syarikat kontraktor dilantik pada 2014 namun gagal menemuinya.

“Pada 2014 memang ada satu syarikat yang telah usahakan cari gali logam di Pulau Nangka sebab kaedah yang digunakan adalah secara metafizik dan saintifik.

“Penemuan itu (logam ‘panas’) sehingga kini bagaimanapun masih lagi belum dapat ditemukan walaupun dari segi saintifik mengesahkan tempat pengalian itu adalah tempatnya (tertanam) dan sehingga kini belum ditemuikan sebarang khazanah dari Pulau Nangka,” katanya.

KERJA-kerja cari gali harta karun di Pulau Nangka yang dilakukan sebuah syarikat dilantik kerajaan negeri pada 2014 turut mendapat liputan Melaka Hari Ini ketika itu.

Untuk rekod, Pulau Nangka yang tidak berpenghuni berkeluasan kira-kira 20 hektar, terletak sekitar 17 kilometer dari kawasan pantai serta empat kilometer dari Pulau Besar, berhampiran Umbai.

Pulau Nangka diwartakan sebagai milik Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada tahun 1997 dikelilingi kira-kira 10 pulau kecil yang tidak dihuni, kecuali Pulau Besar dan Pulau Undan.

Mengikut sejarah, pulau berbentuk nangka itu didakwa menyimpan harta karun dipercayai milik sultan terakhir Melaka, Sultan Mahmud Shah yang dikatakan ditanam di pulau kecil itu.

KERJA-kerja cari gali harta karun di Pulau Nangka yang dilakukan sebuah syarikat dilantik kerajaan negeri pada 2014 turut mendapat liputan Melaka Hari Ini ketika itu.

Dilaporkan juga, Sultan Mahmud menanam sebahagian hartanya berupa wang emas, pakaian dan jongkong di pulau itu ketika penjajahan Portugis pada tahun 1511,

Pada 2014, kerajaan Melaka telah melantik sebuah syarikat, bagi mengkaji dan mengeluarkan harta dipercayai masih tertanam di pulau itu namun apabila ada individu yang berjaya menemukan emas untuk bawa keluar, kaki mereka tidak boleh melangkah kecuali setelah ia diletakkan kembali.

Selepas 2014, segala kerja pencarian harta karun kemudian dihentikan kecuali sekadar penemuan syiling lama.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4254
Kongsi :
Previous post Agong zahir ucapan tahniah kepada Bonnie
Next post Peniaga pasar malam makin tersepit, ada terjerat hutang ‘ah long’
Ubah saiz-+=