Agong zahir ucapan tahniah kepada Bonnie

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

 

KUALA LUMPUR 23 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet para negara Bonnie Bunyau Gustin atas pencapaian cemerlangnya memecahkan rekod dunia acara powerlifting.

Menurut catatan dalam Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan atlet berusia 22 tahun itu yang melakar sejarah baharu buat sukan angkat berat (powerlifting) negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu kelmarin, atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu memecahkan rekod dunia dengan angkatan seberat 230 kg dalam kategori lelaki atas 72 kg untuk merangkul pingat emas, menewaskan atlet China, Peng Yu (214 kg) dan atlet Nigeria, Nnamdi Innocent (213 kg)

Menurut catatan itu, kejayaan Bonnie memecahkan rekod yang selama ini dipegang oleh atlet Iran, Roohallah Rostami, amat bermakna buat Malaysia dan menjadi suntikan semangat kepada atlet tersebut untuk meneruskan buruan pingat pada kejohanan akan datang.

“Pencapaian cemerlangnya sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa,” demikian menurut hantaran itu.

Kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Menurut hantaran itu, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang.

“Syabas dan tahniah,” menurut catatan itu lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

904
Kongsi :
Previous post Malaysia gesa Bank Dunia bantu negara membangun nikmati kesaksamaan vaksin
Next post Beratus tan harta karun di Pulau Nangka berpenunggu?
Ubah saiz-+=