Peniaga pasar malam makin tersepit, ada terjerat hutang ‘ah long’

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

 

MERLIMAU 23 Jun – Berdepan tekanan perasaan, malah ada yang terpaksa meminjam daripada peminjam wang tidak berlesen atau ‘ah long’ untuk terus hidup.

Itu antara dilema dihadapi peniaga pasar malam di negeri ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan yang menyaksikan golongan ini tidak dapat berniaga untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Melayu Negeri Melaka, Datuk Zaleha Bujang berkata, isu seperti meminjam ‘ah long’ sememangnya berlaku sepanjang tempoh PKP sehinggakan ada peniaga yang terperangkap dan tidak mampu membayar hutang berkenaan dan membahayakan nyawa sendiri.

Jelasnya, antara yang paling terkesan ialah mereka dalam kalangan peniaga kecil yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk terus bertahan.

ZALEHA.

“Masa awal-awal dahulu saya sudah nasihatkan peniaga-peniaga ini agar jangan sesekali meminjam ah long kerana mereka boleh terperangkap.

“Tetapi kebanyakan mereka beritahu saya mereka sudah tidak boleh buat apa lagi. Mereka masih perlu hidup untuk memberi makanan kepada keluarga dan perlu membayar ansuran kereta dan rumah.

“Walaupun menerima bantuan kerajaan seperti moratorium dan sebagainya itu masih tidak mencukupi kerana bagi mereka ia seperti tarik atas nampak lutut, tarik bawah nampak pusat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Penjaja Seluruh Malaysia merayu kerajaan agar membenarkan pasar malam beroperasi semula dan menamatkan darurat segera bagi membolehkan peniaga kecil ini kembali bernafas.

“Kita mewakili suara penjaja dan peniaga kecil merayu kerajaan agar menamatkan darurat dan beri kebenaran berniaga.

“Walaupun COVID-19 masih ada, saya percaya peniaga dan orang ramai sudah sedia maklum dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan akan terus mematuhinya.

“Lagipun, COVID-19 ini bukan hanya menyerang peniaga-peniaga kecil sahaja. Kalau pusat beli-belah yang besar-besar dibenarkan dibuka dan orang boleh berkumpul, mengapa peniaga-peniaga kecil tidak dibenarkan? Mereka juga mahu hidup,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zaleha yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja Merlimau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang mengumumkan bantuan sekali bayar RM350 kepada peniaga pasar malam dan bazar di Melaka menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama.

Beliau bagaimanapun mengharapkan kuota bantuan tersebut disalurkan kepada pihak persatuan bagi mengelakkan ada dalam kalangan peniaga yang benar-benar layak tercicir namanya.

“Di Melaka, persatuan kita ada 10 cawangan kesemuanya dan setiap cawangan itu lebih mengenali ahli-ahlinya. Jadi saya berharap kuota bantuan itu akan diberikan kepada persatuan untuk memudahkan proses pengagihan.

“Kita risau jika bantuan diberikan secara permohonan akan ada yang bukan peniaga namun mempunyai SSM turut sama memohon sedangkan mereka bukan dalam kategori yang layak mendapatkan bantuan itu.

“Jadi, untuk mengelakkan ada nama yang terpinggir, kita berharap bantuan itu dapat diberikan kuota kepada persatuan,” ujarnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

664
Kongsi :
Previous post Beratus tan harta karun di Pulau Nangka berpenunggu?
Next post Sindiket penipuan tawar kerja sambilan sebagai ejen Lazada tumpas
Ubah saiz-+=