Sindiket penipuan tawar kerja sambilan sebagai ejen Lazada tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

 

JOHOR BAHRU 23 Jun – Satu sindiket penipuan yang menawarkan peluang bekerja sambilan menjadi ejen Lazada dalam talian, tumpas susulan serbuan di empat kediaman di Kota Tinggi, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pada 4 petang itu, pihaknya menahan 22 individu terdiri daripada 11 lelaki dan 11 perempuan, berumur lingkungan 15 hingga 28 tahun.

Beliau berkata modus operandi sindiket ini ialah dengan ‘ibu pejabat’ menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp secara rawak kepada mangsa dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai ejen Lazada bagi menjana pendapatan.

Kemudian, beliau menjelaskan mangsa akan diminta menghubungi pusat perkhidmatan untuk maklumat lanjut, yang mereka akan ditawarkan komisen sebanyak lapan hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah belian barangan.

“Mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran bagi pembelian produk yang diiklankan di Lazada yang kononnya barangan tersebut telah sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

“Mangsa juga ditawarkan upah antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan yang dilihat agak lumayan bagi mereka yang tidak bekerja,” katanya.

Ayob Khan berkata kumpulan itu yang dipercayai menyasarkan warga Singapura, sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan sering bertukar-tukar lokasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, katanya.

Sementara itu, modus operandi yang sama dipercayai digunakan oleh satu sindiket di Kuala Lumpur yang pihaknya masih menyiasat sekiranya terdapat kaitan dengan ahli sindiket yang baru ditahan di Kota Tinggi itu.

Beliau berkata kesemua individu telah direman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran secara dalam talian yang menawarkan pulangan mudah dalam tempoh singkat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post Peniaga pasar malam makin tersepit, ada terjerat hutang ‘ah long’
Next post Wisma Persekutuan ditutup tiga hari
Ubah saiz-+=