Berhenti kerja demi jaga kambing bapa

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER LIMAU 13 April – Bapa yang sudah lanjut usia tidak harus dibiarkan terus mengerah kudrat untuk memelihara 60 kambing yang semakin bertambah.

Sebaliknya, bapa harus diberikan ruang untuk berehat dan tugas itu seharusnya diambil alih oleh anak.

Demi kasih kepada bapanya, Muhammad Azim Ramli sanggup, 26, meninggalkan kerjaya yang menjanjikan pendapatan tetap untuk meneruskan tugas memelihara kambing bapanya.

Tidak sanggup untuk Muhammad Azim, melihat bapa yang sudah lanjut usia, Ramli Abu Bakar, 60, terus memerah keringat menternak haiwan ruminan berkenaan.

Dia sanggup menamatkan tugasnya sebagai penyelenggara pelbagai peralatan bangunan kira-kira lima bulan lalu semata-mata untuk memberikan peluang kepada bapanya berehat.

“Saya tidak sanggup melihat ayah terpaksa bekerja kuat untuk memotong rumput, daun kelapa sawit dan daun belakang angin semata-mata untuk memberi makan kepada kambing.

“Jadi saya tekad berhenti kerja semata-mata untuk memastikan kambing dijaga dengan baik dan ayah mempunyai banyak masa untuk berehat,” katanya ketika ditemui di kandang kambingnya di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, di sini, semalam.

Setiap pagi, Muhammad Azim memotong rumput untuk diberikan kepada haiwan ternakan berkenaan, selain memotong daun kelapa sawit dan pokok belakang anak.

Katanya, selain bahan makanan itu, dia turut menyediakan palet sebagai makanan tambahan untuk haiwan ternakan terbabit.

“Anak kambing amat gemar memakan daun belakang anak manakala kambing dewasa gemar daun kelapa sawit, selain palet,” katanya.

Katanya, bekerja sendiri memerlukan dia sentiasa bijak menguruskan kewangan kerana pendapatannya kini bergantung kepada haiwan ternakan yang dijual.

Bagi menambah pendapatan, Muhammad Azim sering turun ke sungai untuk memancing udang galah yang dijual pada harga RM70 sekilogram.

Katanya, haiwan ruminan itu cepat membiak dengan seekor kambing betina mampu beranak dua kali setahun dengan jumlah anak antara satu hingga tiga ekor sekali beranak.

Sehubungan itu, dia bercita-cita membesarkan lagi kandang kambing sedia ada untuk menampung pertambahan kambing pada masa depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1389
Kongsi :
Previous post TH kaji keperluan bayaran haji bersasar, bantu golongan B40
Next post Aidilfitri yang suram untuk penoreh getah
Ubah saiz-+=