Aidilfitri yang suram untuk penoreh getah

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER LIMAU 13 April – Jika pekebun kecil kelapa sawit tersenyum lebar menyambut 1 Syawal tidak lama lagi, berikutan harga komoditi itu yang melonjak, namun tidak bagi pekebun kecil getah.

Tenaga yang dikerah ketika menoreh getah tidak setimpal dengan hasil yang diperoleh, menyebabkan Aidilfitri kali ini
terasa seakan-akan tidak meriah untuk mereka.

Abdul Aziz Daud, 54, berkata tiada senyuman yang mampu terukir pada bibirnya untuk menyambut kehadiran Aidilfitri
tidak lama lagi, berbanding rakannya yang mengusahakan kebun kelapa sawit.

“Harga getah lantun (beku) hari ini cuma RM3 satu kilogram (kg) berbanding RM3.15 semalam, ia amat rendah berbanding
harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit yang mencecah RM1,000 satu tan sekarang.

“Apakan daya saya untuk menyambut Aidilfitri selain terpaksa berpuas hati dengan hasil jualan sedia ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Ramuan Cina Kecil, dekat sini, semalam.

Dengan menjual 10 kg getah beku kepada peraih, Abdul Aziz hanya membawa pulang RM32 untuk membiayai perbelanjaan keluarga.

Katanya, 1.2 hektar kebun getah yang diusahakannya sejak 20 tahun lalu semakin berkurangan hasilnya berikutan faktor pokok yang sudah tua.

Dia berkata, yang diimpikan penoreh ialah harga getah naik ke paras selesa antara RM4 hingga RM4.50 satu kg seperti
yang pernah dinikmati pada hujung 2016.

Katanya, sejak 2013 harga getah beku berada di bawah paras RM2 tetapi ia mula meningkat kepada RM2.50 mulai Sept 2016.

Harga terus meningkat melepasi RM4 pada Dis 2016 dan mencapai RM4.70 pada awal Jan 2017 tetapi ia hanya bertahan selama dua minggu sebelum kembali menurun hingga sekarang.

Menurutnya harga melebihi RM4 menceriakan penoreh getah yang sebelum itu terpaksa menanggung kesempitan hidup akibat kejatuhan harga mulai awal 2012 hingga Okt 2016, katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mencari kaedah sesuai membantu meningkatkan harga getah yang tidak pernah naik sejak Jan 2017.

Penoreh amat gembira jika kerajaan mampu memberikan sumbangan khusus untuk mereka menjelang Aidilfitri, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1130
Kongsi :
Previous post Berhenti kerja demi jaga kambing bapa
Next post Ab Rauf selami masalah nelayan Padang Kemunting
Ubah saiz-+=