Beri alasan hotel tempat berteduh hujan

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MELAKA 1 Jan – “Saya sudah biasa pulang pukul 3 atau 4 pagi tiada masalah, emak pun tidak marah.

“Ini pun sebab hujan jadi kami terpaksa tidur di hotel sementara hendak tunggu siang,” itu kata remaja perempuan yang ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Op Ambang Tahun Baharu, awal pagi tadi.

Remaja perempuan berusia 17 tahun itu dari Senawang, Negeri Sembilan, ditahan di sebuah hotel bajet di Taman Merdeka bersama dua rakan lelakinya.

Ketua Penguatkuasa JAIM Akmal Nadzim Abdullah berkata, selain tiga remaja itu turut ditahan dalam operasi sama dua lagi pasangan bukan muhrim selepas didapati bersekedudukan.

Katanya, dalam operasi lebih tiga jam itu yang berakhir jam 3 pagi, seramai 18 penguatkuasa JAIM digerakkan ke beberapa hotel bajet di sekitar Melaka Tengah bagi menjalankan pemeriksaan.

“Ketika operasi dijalankan pihak penguatkuasa mendapati mereka ini berada berdua-duaan dan bersama pasangan bukan muhrim.

“Malah ada yang memberi alasan mereka sudah bertunang. Kita menahan tujuh individu termasuk empat lelaki dan kesemua mereka berusia antara 17 hingga 25 tahun,” katanya.

PENGARAH Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat (tengah) menyoal siasat sebahagian dari pasangan yang ditahan dalam operasi sempena sambutan tahun baharu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel bajet sekitar Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu operasi itu turut disertai Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat.

Menurutnya, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Pejabat JAIM bagi siasatan lanjut dan rakaman percakapan.

“Untuk tiga remaja itu kita akan memanggil ibu bapa atau penjaga sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan.

“Kesemua mereka ini akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1951,” katanya.

KETUA Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah ditemui pada operasi sempena sambutan tahun baharu yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di sebuah hotel bajet sekitar Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2532
Kongsi :
Previous post Lubok China banjir lagi
Next post Operasi Melaka River Cruise dihentikan sementara
Ubah saiz-+=