BERKAT MENABUNG RM10 SETIAP BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 1 Oktober – Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Itu pepatah yang sesuai untuk menggambarkan kesepakatan keluarga besar ini yang mewujudkan tabung khusus demi menjaga kebajikan lima generasi keturunan Ya Dahan ini atau Mohd Dahan Maaris.

Lebih manis apabila tabungan RM10 setiap bulan dimulakan kira-kira 10 tahun lalu dibelanjakan untuk meraikan enam pasang mempelai pada majlis sambut menantu yang berlangsung di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, Sabtu lalu, sekali gus mencipta kenangan terindah buat keluarga besar Ya Dahan.

Noor Azliza Abdullah, 39, berkata majlis itu meraikan dua anaknya dan empat anak saudara arwah suaminya yang dijayakan dengan menggunakan wang tabungan keluarga mereka sebanyak RM7,000.

“Alhamdulillah semuanya berlangsung dengan penuh kemeriahan, selain wang tabungan keluarga, majlis berkenaan turut mendapat tajaan pelbagai pihak termasuk ada yang menyumbangkan lembu untuk ditumbangkan sebagai lauk kenduri.

“Semua ahli keluarga gembira dapat meraikan pengantin baharu, tetapi nikmat paling besar adalah kami semua tidak lokek dan saling bantu-membantu, jalinan ukhwah kekeluargaan juga semakin erat,” katanya.

Whatsapp Image 2024 09 30 At 5.12.12 Pm (2)

PASANGAN mempelai yang diraikan pada majlis sambut menantu.

Bercerita lebih lanjut, Noor Azliza berkata, inisiatif mewujudkan tabung berkenaan digerakkan oleh arwah suaminya atas niat wang terkumpul dibelanjakan bagi membiayai majlis perhimpunan keluarga yang kebiasaannya diadakan pada setiap bulan Syawal.

Menurutnya, pembayaran RM10 yang konsisten dalam kalangan ahli keluarga membantu meningkatkan lagi jumlah tabungan dan susulan itu timbul cadangan untuk menggunakan wang terkumpul bagi menjaga aspek kebajikan atau membantu saudara-mara yang dalam kesusahan.

“Contoh, wang daripada tabung ini kami pernah salurkan untuk bantu ahli keluarga di Kelantan yang ketika itu terjejas akibat bencana banjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post LELAKI DIDAKWA BUNUH ABANG SENDIRI
Next post PERKESO KUAT KUASA HAD SILING GAJI BAHARU UNTUK CARUMAN BERKUAT KUASA HARI INI
Ubah saiz-+=