Bilik khas jamin keselamatan calon SPM bergejala COVID-19

Masa Membaca:53 Saat

KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan persediaan terperinci bagi menjamin keselamatan calon daripada penularan pandemik COVID-19 ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelbagai pendekatan diambil kementerian terhadap fasiliti peperiksaan di setiap sekolah kali ini dan bukan saja menyediakan dewan peperiksaan utama.

“Kita menyediakan bilik alternatif di setiap sekolah sebagai persediaan sekiranya berlaku apa-apa kepada calon sepanjang tempoh peperiksaan.

“Malah, jika ada calon yang menunjukkan gejala COVID-19 mereka akan ditempatkan di bilik khas.

“Selain itu kita juga sediakan bilik isolasi buat calon SPM yang digunakan sebagai bilik transit untuk mereka yang telah menjawab peperiksaan pada sebelah pagi dan memerlukan sedikit masa untuk menjawab peperiksaan pada sebelah petangnya,” katanya pada sidang media Kementerian Pelajaran Malaysia, petang tadi.

Radzi berkata, KPM akan memanfaatkan setiap ruang bilik darjah yang ada di setiap sekolah bagi menyediakan fasiliti tambahan sepanjang tempoh peperiksaan.

“Sebab itu sesi persekolahan sekolah menengah dibuka selepas peperiksaan SPM berakhir supaya ia tidak mengganggu calon yang memerlukan ruangan tambahan sepanjang SPM berjalan,” katanya.

Views:

637
Kongsi :
Previous post Perkhidmatan Bot Loncat-Loncat dilancarkan tahun ini
Next post Sesi persekolahan menengah bermula 4 April
Ubah saiz-+=