‘Bintang K-pop’ wira bantu MUFC curi satu mata di Cheras

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas liga kembali bersambung apabila berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 1-1 dalam aksi di Stadium KLFA Cheras, malam tadi.

Skuad Hang Tuah bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sehingga 90 minit perlawanan sebelum berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi pemain import Korea Selatan, Jang Suk Won di masa kecederaan babak kedua.

Keputusan seri itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan MUFC di tangga ke-9 Liga Super, namun ia sekurang-kurangnya dapat menjarakkan diri mereka dari zon bahaya.

Separuh masa pertama menyaksikan tidak banyak aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, tuan rumah, KL City FC hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-40 apabila berjaya melakukan serangan balas ke kubu yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Malang apabila Romel Morales yang menerima hantaran Paulo Josue di depan pintu gol mensia-siakan peluang keemasan tersebut.

Di masa kecederaan separuh masa pertama, MUFC turut memperoleh peluang menerusi Adriano Narcizo, namun kekebalan benteng pertahanan tuan rumah menggagalkan usaha pemain kelahiran Brazil itu dan aksi berakhir seri tanpa jaringan.

Bersambung di babak kedua, KL City FC tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-53 menerusi Zhafri Yahya.

Gol itu berpunca dari hantaran Hadin Azman sebelum Zhafri menanduk masuk bola menewaskan Khairul Fahmi.

SUK Won

Tuan rumah hampir sahaja menggandakan jaringan pada minit ke-73 dan 78, sekali lagi menerusi Hadin dan Zhafri.

Namun, peluang keemasan yang diperoleh itu gagal disempurnakan dengan baik.

Memasuki minit ke-82, insiden lampu limpah terpadam sekali lagi berulang dalam aksi membabitkan MUFC.

Sebelum ini, insiden sama berlaku di Stadium Darul Makmur dalam pertemuan dengan Sri Pahang FC yang menyaksikan perlawanan terhenti selama 11 minit.

Selepas lima minit, perlawanan kembali bersambung dengan anak buah Zainal Abidin Hassan tampak sedikit terdesak untuk mencari gol penyamaan.

Sedang keputusan dilihat bakal berakhir dengan kekalahan buat MUFC, tiba-tiba sahaja Suk Won muncul wira apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Gol itu terhasil berpunca daripada sepakan percuma Sony Norde di kiri pintu gol sebelum ditanduk masuk dengan sempurna oleh pertahanan import dari Korea Selatan itu.

Keputusan seri 1-1 kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat, sekali gus membantu MUFC membawa pulang satu mata berharga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

629
Kongsi :
Previous post Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah meninggal dunia
Next post Aaron-Wooi Yik hargai sokongan rakyat Malaysia
Ubah saiz-+=