Blok Wanita dan Kanak-Kanak dijangka siap 2027

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 28 November – Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak (WCC) di Hospital Melaka dijangka akan bermula tahun depan, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Menurut beliau, pembinaan itu dijadual mengambil masa empat tahun dan dijangka siap pada 2027.

Apabila siap kelak, jelasnya, hospital berkenaan bakal meningkatkan bilangan katil kepada 476 unit untuk Hospital Melaka, sekali gus menjadi langkah jangka pendek mengatasi isu kesesakan di hospital utama itu.

“Saya difahamkan kerja awalan bagi projek WCC ini telah selesai dan pembinaannya dijangka akan bermula tahun 2024 dan siap berkemungkinan pada 2027.

“Selain WCC, kita juga akan membina blok tambahan di Hospital Alor Gajah dan Jasin yang mana ia menunggu kelulusan peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH-Banda Hilir) pada sidang berkenaan, Hee Sem memaklumkan, jumlah bilangan katil bagi semua fasiliti kesihatan negeri (hospital kerajaan dan swasta) adalah 2,212, setakat Oktober tahun ini.

Menurut beliau, walaupun nisbah katil,  ketimbang penduduk Negeri Melaka adalah 2.21 bagi setiap 1,000 penduduk lebih baik daripada purata nisbah kebangsaan, namun isu kekurangan katil masih berlaku atas sebab-sebab tertentu.

“Antaranya disebabkan Hospital Kem Terendak yang mempunyai 114 katil kini ditutup bagi kerja naik taraf, ia menyebabkan penduduk di Melaka Tengah kini hanya tertumpu di Hospital Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

799
Kongsi :
Previous post Jangan lepaskan anjing peliharaan di kawasan awam – Exco
Next post Melaka bakal usahakan ladang benih padi sah pertama di Malaysia
Ubah saiz-+=