Melaka bakal usahakan ladang benih padi sah pertama di Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 28 November – Ladang benih padi sah yang bakal dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Melaka membabitkan kawasan seluas 32 hektar di Merlimau bakal meningkatkan kadar kepenggunaan (SSR) hingga tiga kali ganda bagi padi dan beras di negeri ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha Kerajaan Negeri mengusahakan ladang benih padi sah itu menjadikan Melaka sebagai negeri pertama di Melaka menjalankan inisiatif itu sebagai langkah jangka panjang dalam pengeluaran hasil padi dan beras.

Beliau berkata, usaha itu juga akan memastikan pesawah di Melaka akan dapat benih padi yang berkualiti berbanding sebelum ini sekali gus dapat menghasilkan beras lebih berkualiti.

“Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan sejumlah RM300,000 untuk kita mengusahakan ladang benih padi sah yang pertama ini rentetan isu berbangkit peratusan SSR bagi padi di Melaka yang hanya mencatatkan peratus 9.8 peratus sahaja.

“Ladang benih padi ini akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri yang dijangka bertempat di kawasan Merlimau. Kita sasarkan dalam tempoh dua tahun SSR untuk padi dan beras akan bertambah dua kali ganda atau 18 hingga 19 peratus selain benih padi yang dihasilkan ini akan diberikan kepada pesawah di Melaka terlebih dahulu sebelum dijual keluar.

“Pada Isnin ini kita akan adakan pertemuan bersama-sama dengan pesawah untuk bincangkan perkara ini sebelum pelaksanaan dibuat selain kita jangkakan ladang benih padi sah ini akan membabitkan antara 17 hingga 18 pesawah padi,” katanya.

Photo 2023 11 28 11 23 50
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Salleh berucap pada sidang media sempena Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri Melaka, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata demikian di sidang media pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, hari in.

Menurut beliau, benih padi MR297 akan digunakan bagi membangunkan ladang benih padi sah itu dengan mengambil beberapa faktor antaranya kadar penggunaan air yang rendah serta kadar pengeluaran yang tinggi.

“Istimewanya benih padi MR297 ini adalah ‘water resistant’ yang mana kadar penggunaan air kurang, meskipun penggunaan air kurang tetapi penghasilan padi antara dua hingga tiga kali ganda.

“Ini kita peroleh berdasarkan hasil dari tapak ‘study’ yang dijalankan di sawah di Kampung Sempang, Merlimau, walaupun kawasan itu berdepan masalah air tetapi benih padi MR297 ini menghasilkan keluaran yang sangat baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

828
Kongsi :
Previous post Blok Wanita dan Kanak-Kanak dijangka siap 2027
Next post Melaka buka peluang pelajar tahfiz lanjut pengajian TVET
Ubah saiz-+=