Melaka buka peluang pelajar tahfiz lanjut pengajian TVET
SERI NEGERI 28 November – Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai peluang buat pelajar tahfiz di negeri ini bagi memastikan mereka mampu mendapat pendidikan sewajarnya.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peluang melanjutkan pengajian terutama dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah ditawarkan buat semua 116 institusi tahfiz termasuk institusi swasta berdaftar di Melaka.
Bagaimanapun ujarnya, sambutan sokongan pelajar dalam perkara itu masih berada pada tahap rendah dan ia perlu diperluaskan bagi memastikan kemenjadian pelajar dapat dibentuk.
“Kita ada melaksanakan program tambahan dalam aspek pendidikan kemahiran buat para pelajar menerusi kerjasama Insitut Pendidikan Guru (IPG) dan kolej komuniti di mana menerusi IPG kita mempelbagaikan program-program kokurikulum yang menyediakan latihan sukan dilengkapi dengan fasiliti dan jurulatih.
“Malah dengan kolej komuniti pula kita telah laksanakan kerjasama ini untuk menawarkan program latihan kemahiran kepada pelajar tahfiz seperti kurus pembuatan pastri, bakeri dan teknologi maklumat (IT).
“Sebenarnya ada banyak peluang kita tawarkan buat pelajar ini namun kita agak sedih kerana apabila kita buat tawaran hanya enam orang saja yang mengikuti sebelum ini dan setakat ini baru 13 orang yang berdaftar malah ia bukan keseluruhannya adalah pelajar dari Melaka, jadi 116 institusi ini termasuk 82 institusi swasta ini perlu ambil peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bagi memastikan golongan itu mampu melayakkan diri menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, peluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) percuma turut ditawarkan.
“Mereka boleh melaksanakan permohonan untuk menduduki peperiksaan ini secara percuma di mana Kerajaan Negeri menawarkan mereka untuk menduduki SPM di Maahad Tahfiz Bistari (MTB) di Pulau Besar.
“Kita lihat sambutan pelajar untuk meneruskan pengajian ke bidang ini rendah mungkin disebabkan peringkat umur mereka belum sampai untuk menduduki SPM jadi ini langkah awal yang diambil Kerajaan Negeri bagi memastikan hasrat memastikan pendidikan pelajar tahfiz dapat diperluaskan ke peringkat pengajian yang lebih tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.