Cadang tubuh pasukan khas pantau prestasi anak syarikat

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 28 November – Sebuah pasukan khas dicadang dibentuk bagi memantau prestasi kerja anak syarikat yang tidak berdaya maju.

Cadangan itu diusul Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika sesi Perbahasan Usul dan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, transformasi atau penggubalan anak syarikat Kerajaan Negeri itu wajar diberi penekanan serius untuk mengelakkan daripada anak syarikat berkenaan terus bergantung kepada suntikan modal Kerajaan Negeri.

“Pasukan kerja ini perlu dibentuk dan disertai pejabat kewangan serta agensi berkaitan dan individu berpengalaman luas dalam usaha mengawal selia dan memupuk amalan tadbir urus korporat yang baik.

“Mana-mana anak syarikat yang tidak maju atau berdaya saing mesti diberi pengkhususan dan jika perlu ditutup ia perlu ditutup, yang mana semua kakitangannya perlu diserap ke syarikat yang lebih maju,” katanya.

Sulaiman menambah, selain prestasi anak syarikat, Kerajaan Negeri juga perlu memastikan hanya individu yang mempunyai kelayakan dan berpengalaman luas diberi mandat sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Katanya, pelantikan itu juga perlulah ada kepelbagaian dari sudut umur dan jantina dalam menyokong pembangunan perniagaan 13 agensi, 81 syarikat berkaitan kerajaan dan 67 anak syarikat di Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post Melaka buka peluang pelajar tahfiz lanjut pengajian TVET
Next post Sektor pertanian Melaka terima insentif bantuan RM3.48 juta
Ubah saiz-+=